Pencapai Kecemerlangan SPM:
Awasi Dunia Barumu
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Tahniah
kepada adik Nik Nur Madihah atas kejayaannya menempa sejarah pendidikan
negara dengan pencapaian 20 A. 19 1A, dan 1 2A. Bagi individu
berlatarbelakangkan agama seperti saya, kejayaan ini lebih manis apabila
datang dari seorang muslimah yang sempurna penutupan aurat dan
bersekolah agama. Lebih manis lagi apabila ia lahir dari sebuah keluarga
yang tidak berada dari sudut kebendaan, tidak pula dilimpahi
kemudahan-kemudahan tambahan seperti tuisyen dan lainnya.
Inilah yang dinamakan dakwah bil hal,
iaitu satu bentuk teladan dan ajakan kepada kebaikan melalui pencapaian
dan teladan hasil kejayaan dan perlakuan diri, bukan melalui percakapan
atau tulisan. Benar, hampir seluruh Malaysia menumpu kepada beliau, dan
tabiat manusia khususnya orang Malaysia adalah ingin mengetahui
‘rahsia' kejayaannya. Lebih biasa kita dengar adalah cuba mendapatkan
jalan pendek kepada kejayaan yang sama. Kasihan juga memikirkan minda
sebahagian muslim yang inginkan kejayaan tetapi melalui rahsia tertentu,
ayat Al-Quran tertentu, doa khusus dengan ‘power' tertentu dan lainnya,
dengan harapan semua itu akan memberi satu kuasa luar biasa walaupun
tanpa susah payah usaha, mereka cuba mengelak dari jalan sukar dan
panjang. Ia adalah satu minda yang songsang kerana semua kejayaan
melalui jalan pendek adalah tiada kukuh asasnya atau HAMPIR SEMUANYA
diperolehi dengan jalan korup dan salah.
Apa
yang lebih menarik pihak media massa dalam kisah adik Nik Madihah,
bukan sekadar kejayaannya tetapi juga ketabahannya mengharungi
pembelajaran dalam suasana serba kekurangan harta benda yang kerap
dijadikan ukuran kebolehjayaan seseorang. Jelas, limpahan kebendaan
bukanlah satu kewajiban untuk mencatat kejayaan cemerlang.
IBADAH DAN KEJAYAAN
Kenyataan
Nik Nur Madihah yang berterus terang berkenaan kebiasaannya berpuasa
Isnin Khamis turut memberikan impak positif kepada ibadah puasa yang
adakalanya dilihat serong oleh manusia bertuhan aqal (mereka adalah
kumpulan sekular), yang sering mendakwa puasa boleh membantutkan
prestasi pelajaran dan kerja kerana keletihan dan tidak bermaya.
Tudung
labuhnya tidak menutup mindanya dari cerdas sebagaimana anggapan dan
tuduhan sebahagian wanita moden yang amat membenci pakaian Islam ini. Bibirnya tidak perlukan warnaan merah lipstick, matanya tidak perlukan eyeshadow warna abdomen langau yang kehijauan dan pipinya tidak perlukan blusher merah agar dilihat bijak. Semuanya natural. Beliau juga tidak perlukan skirt pendek bagi menampaknya kecekapan mindanya.
Mujurlah
adik Nik tidak memaklumkan berkenaan ibadah solat malam dan
tahajjudnya. Jika tidak tentunya bekas pemimpin dan pemimpin yang pernah
‘membantai' solat malam dengan hujjah ia memundurkan prestasi pelajar
akan seolah-olah ditampar kiri kanan serta terkena jurus ‘flying kick'
di perut.
CABARAN MENGEKAL KEJAYAAN
Erti
kejayaan amat luas dan subjektif, sebagai umat Islam kita wajib
melihatnya dari perspektif keagamaan terlebih dahulu sebelum tenggelam
dengan takrifan dan definisi kejayaan dari kacamata kebendaan. Namun
saya tidak ingin memanjangkan takrif dan erti tersebut di dalam artikel
ini.
Apapun
saya ingin merakamkan tahniah kepada adik Nik Nur Madihah dan para
pelajar lain yang berjaya menempa kecemerlangan dalam peperiksaan SPM
mereka.
Namun
beringat-ingatlah, pengalaman saya mengambil SPM di awal tahun 1990 an,
dan melihat kejayaan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan SPM
memperlihatkan satu gambaran dan analisa yang berbeza-beza.
Tidak
sedikit pelajar yang menyapu bersih 1A dalam semua atau majoriti
matapelajaran tetapi tewas dan jatuh terjelepok semasa kehidupan di
universiti. Puncanya sangat pelbagai namun asasnya adalah akibat lemah
jatidiri hingga ‘cair' dengan alam universiti yang lebih bebas
berbanding sekolah. Satu alam yang menguji proses kebijaksanaan
seseorang dalam menentukan hala tuju kehidupan dan ujian membuat banyak
keputusan. Ramai juga yang gagal, lalu kejayaan SPM mereka hanya tinggal
sebagai satu kenangan manis. Selepas keluar dari univeristi mereka
bukan lagi individu teladan dan kebanggaan agama dan negara, mereka
hanya orang biasa, malah mungkin duduk pun sebaris dengan individu yang
gagal di dalam SPM mereka.
Tanpa
mengira lokasi universiti, sama ada di dalam atau luar negeri, pokok
pangkal kelangsungan kejayaan adalah terletak pada hati dan diri
sendiri. Ramai yang berbangga apabila dapat melanjutkan pelajaran ijazah
pertama ke luar negara, namun pulangnya tidak seperti manusia. Rambut
kusut masai lagak penyanyi rock, pakaiannya berkiblatkan barat, hati dan
minda menggengam erat ideologi barat, percampuran bebas dianggap
bertamadun, duduk serumah lelaki dan perempuan bujang dianggap 'bagus'
serta jimat. Bukan semua berambut panjang salah, memang benar ia
terletak kepada niat dan pelbagai faktor lain (antaranya jimat budjet) namun point yang
ingin saya tegaskan di sini adalah terdapat ramai yang penampilan
luarannya sengaja diniat menyamai barat hasil kekagumannya kepada negara
itu.
Lebih
malang, dara dan terunanya sudah lama mengucapkan selamat tinggal.
Akibat kelemasan dengan cara hidup masyarakat Barat, dirasakan cara
hidup ini sebagai mulia dan terkehadapan. Kasihan melihat
pelajar-pelajar cemerlang SPM seperti ini, mereka dibiayai oleh kerajaan
Malaysia hasil wang masyarakat Malaysia atas kejayaan aqal mereka,
namun rupanya aqal mereka HANYA BIJAK MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN,
tetapi tidak bijak menangani persoalan kehidupan realiti, tidak bijak
membuat keputusan mungkin kerana tiadanya ‘silibus khusus yang
dibocorkan oleh guru'. Kegagalan ini adalah hasil dari hati yang gersang
dan kering dari panduan Ilahi.
MINDA ROBOT AKAN KARAT
Itu
jika dilihat dari aspek kegamaan, namun bukan sekadar itu sahaja.
Pengalaman saya mengendalikan banyak interview, demikian juga hasil
maklumat dari rakan-rakan di industri kewangan di Malaysia, juga adik
beradik saya yang kini banyak mengendalikan temuduga kerja di syarikat
masing-masing. Dapat saya kumpulan kesimpulan bahawa, keputusan 3.5
hingga 4.0 CGPA di univeristi juga tidak menjamin kemampuan dan bakat graduan.
Saya telah pernah menuliskan sekelumit panduan semasa temuduga , satu proses ujian yang kerap mendedahkan kekeringan bakat dan minda calon, walaupun dahulunya ia seorang cemerlang SPM, juga top scorer di Universiti.
Bukanlah
niat saya menghilangkan motivasi pelajar untuk mencapai keputusan
mantap lagi cemerlang. Ia satu kewajiban dan tuntutan, tetapi aspek
kecerlangannya perlu diluaskan lagi. Menjadi seorang mat atau minah buku
di universiti adalah teknik mudah untuk menjadi graduan berminda robot,
cepat pula tarikh expirednya. Bijak-bijaklah mengatur urus
pengajian di universiti, jangan menjadi ulat buku berminda robot yang
amat mudah outdated dari dunia realiti, akhirnya menjadi computer buruk
berharga murah.
Bagi
menjadi minda manusia cemerlang, pelajar cemerlang wajib membuka minda
dan terlibat dalam banyak masalah sama ada persatuan, dakwah dan aktviti
di universiti. Semakin banyak dan pelbagai masalah yang menyerang
semasa di universiti lalu dia mampu melepasinya, KIAN TINGGILAH antibodi
diri.
Peratusan
untuk menjadi seorang yang kebal, berpasak kukuh, berminda komputer
yang sentiasa updated dan menjadi idaman setiap institusi dan syarikat
akan semakin CERAH. Lebih dari itu, andalah cahaya baru buat kebangkitan
agama dan pengemudian hala tuju masyarakat. Saya bukan bercakap kosong,
tetapi hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman. Sebenarnya telah ramai
yang berjaya dan ramai juga yang saya kenali. Jalan mereka hampir
serupa cuma belum dan tidak dibukukan untuk tatapan ramai.
Nasihat
saya buat Nik Nur Madihah dan pelajar-pelajar lain yang mencatat
kejayaan SPM, sama ada anda memilih UK, Jordan, Mesir, Malaysia atau di
mana negara pun, jalan kejayaan masih jauh. Hempasan ombak cabaran dalam
membuat keputusan masih belum melanda. Bersedialah, dan gariskan
awal-awal hala tuju kejayaan diri. Beristisyarlah (bertanya dan
bermesyuarat) dengan individu yang mempunyai hikmah dan pengalaman,
sesungguhnya kejayaan melalui pengalaman itu suatu realiti, sedangkan
kejayaan peperiksaan bertulis hanya teori.
Akhirnya,
khas buat Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, selamat datang ke dunia
barumu. Awasilah ia dengan minda dan hati yang sedar. Segala jenis
syaitan sedang menunggumu di kiri kanan, depan dan belakang. Kenalilah
segera mana syaitan dan mana Malaikat. Semuanya sudah tercatat di dalam
Al-Kitab dan Khazanah Nabi dan sahabat.
Sesiapa yang tinggal berhampiran dengan rumahnya, amat saya hargai jika dapat diprint artikel ini dan disampaikan kepada beliau.
Salam ikhlas perjuangan dari saya.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
20 Mac 2009
23 Rabi'ulawwal 1430