Monday, April 25, 2011

Terima Kasih Dato' Wan Mohamad, Tahniah Tuan Haji Othman


 
jakim image
 
“Makan Sedulang, Tidur Sebantal,
Sekapal Sepelayaran, Sepadang Sepermainan,
Sekhemah Sepertiduran, Sekereta Seperjalanan,
Segelanggang Seperguna, Seperindah,
Sepermainan, Sampai Masa Berpisah Jua”….
 
21 April 2011, menjadi antara tarikh bersejarah buat seluruh warga Jakim yang menerima dua perkhabaran berita; iaitu berita yang menyedihkan dan menggembirakan.
 
Dalam satu Majlis Serah Terima Tugas Ketua Pengarah Jakim, ia menjadi tarikh terakhir bagi YBhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abddul Aziz; Ketua Pengarah Jakim dalam perkhidmatan awam.  Dalam masa yang sama, Jakim memanjatkan kesyukuran dengan perlantikan YBhg. Tuan Hj. Othman bin Mustapha selaku Ketua Pengarah Jakim yang baru berkuatkuasa bermula 24 April 2011 ini.
 
Majlis Serah Terima Tugas tersebut turut disaksikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom; Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri memuji dan menghargai perkhidmatan cemerlang yang telah disumbangkan oleh YBhg. Dato’ Wan Mohamad sehingga Jakim menjadi sebuah sebuah institutsi agama yang aktif dan dihormati. Dalam masa yang sama, YB Menteri telah mengumumkan YBhg. Dato’ Wan Mohamad dilantik sebagai Pengerusi bagi Institut Profesional Baitulmal dan Institut Kemahiran Baitulmal yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
 
Turut diumumkan  adalah perlantikan YBhg. Tuan Hj. Razali bin Shahbudin sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) yang baru, kenaikan pangkat Jusa C kepada Jusa B mengantikan tempat Tuan Hj. Othman, manakala Puan Hajah Ramlah binti Yong dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan Insan sekaligus lantikan kepada Jusa C menggantikan tempat YBhg. Tuan Hj. Razali.
 
Sementara itu, YBhg. Tuan Hj. Mohamad Nordin bin Ibrahim akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) yang baru, bakal menggantikan tempat YBhg. Tuan Hj. Halid bin Sintol yang dijadualkan bersara pada 24 Mei 2011. Manakala tempat sebagai Pengarah Bahagian Kemajuan Islam akan diisi oleh Tuan Hj. Zainal Abidin bin Jaafar yang juga lantikan kepada Jusa C.
 
Pada hari yang sama, Puspanita Jakim turut meraikan hari terakhir bersama YBhg. Datin Hajah Sa’adiah binti Ahmad Rashdi  selaku Pengerusi pada sebelah petangnya di Bilik Mesyuarat Bahagian Dakwah Jakim. Majlis tersebut diadakan turut bertujuan untuk berkenalan dengan bakal Pengerusi Puspanita baru yang merupakan isteri kepada YBhg. Tuan Hj. Othman bin Mustapha iaitu Puan Hajah Rohani binti Mohamad.
 
Warga Jakim sekali lagi sebak sewaktu berkumpul di lobi Aras 1, Jakim pada jam 4.00 petang hari yang sama. Majlis Mengetik Kad Perakam Waktu terakhir Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abddul Aziz yang disaksikan bersama oleh ratusan warga jakim untuk bersalaman, bermaafan serta memberikan lambaian terakhir kepada YBhg. Dato’.
 
Sesungguhnya jasa dan bakti yang telah Dato’ Hj. Wan Mohamad curahkan selama ini kepada Jakim demi agama dan Negara khususnya amat besar dan tinggi nilainya dan akan terus sentiasa dikenang. Warga Jakim juga turut mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada YBhg. Tuan Hj. Othman bin Mustapha yang secara rasminya akan menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah JAKIM yang baru berkuatkuasa 24 April 2011 ini.