Friday, November 12, 2010

Falsafah Hari Raya Aidil Adha

Hari Aidiladha adalah satu satu hari kebesaran Islam dan juga hari perayaan bagi umat Islam. Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kepada umat Islam dua hari untuk mereka makan dan minum serta bergembira iaitu Hari Aidilfitri dan juga Hari Aidiladha. Oleh kerana itu, umat Islam diharamkan berpuasa pada kedua-dua hari perayaan besar tersebut. Aidilfitri disambut sebagai tanda kemenangan dan kejayaan selepas berpuasa sebulan penuh Ramadan sementara Aidiladha pula diraikan sebagai simbol salah satu syiar Islam yang teragung yang cukup sinonim dengannya iaitu ibadat Haji.
            
Hari Aidiladha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban adalah kerana hari tersebut merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pergorbanan Nabi Allah Ibrahim di dalam menunaikan perintah Allah dan juga kesabaran anaknya Nabi Ismail memenuhi perintah Ilahi sebagaimana yang termaktub lewat firman-Nya yang bermaksud: Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya), Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
            
Di dalam melaksanakan perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah menyerahkan diri mereka sepenuhnya kepada Allah di dalam menunaikan perintah Ilahi sehingga dengan kurniaan Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, Allah telah mengirimkan seekor kibasy untuk menggantikan Nabi Ismail. Dalam hal ini, Allah telah merakamkan kisah tersebut melalui firman-Nya yang bermaksud: Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim!. Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. (Surah al-Saaffaat, ayat 104- 108).    
            
Hari Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji kerana diperintahkan juga di dalam bulan mulia tersebut umat Islam yang berkemampuan untuk menunaikan ibadat Haji ke Baitullah al-Haram. Ibadat Haji yang dilaksanakan oleh setiap jemaah Haji pada setiap tahun membawa bersamanya seribu satu unsur pengajaran dan pendidikan dalam kehidupan sejagat. Alangkah baiknya jika setiap jemaah Haji dan juga umat Islam seluruhnya dapat menghayati kesan-kesan pengajaran yang tersurat dan tersirat di sebalik ibadat Haji tersebut yang bukan hanya setakat kesan fizikal dari segi ibadah sahaja, malahan ibadah Haji mendidik betapa peri pentingnya pengorbanan untuk mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. 

            Untuk mendapat keredaan Ilahi dan pengampunan-Nya, ia bukanlah satu perkara yang cukup mudah dan murah. Sebaliknya ia menuntut satu pengorbanan yang besar dan juga iltizam yang tinggi di mana ganjaran besar yang disediakan Allah bagi Haji yang mabrur ialah pengampunan dosa seumpama bayi yang baru lahir dan suci serta bersih dari nodaan dosa. Justeru, untuk meraih peluang keemasan dan ganjaran besar tersebut, maka tidak dapat tidak ia memerlukan satu pengorbanan yang jitu, kesabaran yang nekad dan juga iltizam yang tinggi.
           
Perlu ditegaskan bahawa hari raya dalam bulan Zulhijjah bukan hanya pada 10 haribulan sahaja, bahkan ia berlanjutan dari hari ke-11, 12 dan ke-13 yang juga lebih dikenali sebagai hari-hari Tasyrik. Umat Islam juga diharamkan daripada berpuasa pada hari-hari Tasyrik tersebut. Seterusnya,umat Islam disunatkan untuk bertakbir, bertahmid  dan bertasbih mulai dari solat Subuh hari Arafah sehingga solat Asar hari ke 13 Zulhijjah. Ia dilakukan selepas setiap solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat.
            Umat Islam dianjurkan agar memperbanyakkan ibadat pada malam Aidiladha berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidiladha (dengan ibadat), maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati-hati manusia akan mati (iaitu leka dari mengingati Allah). (Hadis riwayat Ibnu Majah)
            
Selain itu, salah satu dari ciri-ciri keistimewaan yang cukup signifikan berkenaan Hari Aidiladha dan juga hari-hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ini kerana ibadat korban tersebut hanya boleh dilakukan dalam empat hari tersebut iaitu bermula dari waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah. 

            Ibadat korban ini mempunyai nilai yang amat tinggi dan juga hikmah kelebihan yang cukup besar dari sudut ibadat dan kemasyarakatan. Dalam erti kata lain, ibadat korban ini merupakan satu penyaksian kita terhadap ketakwaan kita terhadap Allah. Ia juga adalah satu cara untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah. Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan kepada takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya a. (Surah al-Hajj, ayat 37)
           
Di samping itu, ibadat korban ini memberikan peluang kepada setiap Muslim untuk menyucikan dirinya dari sebarang penyakit hati dan juga segala dosa-dosa yang mungkin melekat di dasar jiwa. Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Tidaklah anak Adam mengerjakan sesuatu pekerjaan pada hari Korban yang lebih dicintai Allah dari mengalirkan darah haiwan korban. Sesungguhnya haiwan tersebut akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan akan diterima Allah sebelum jatuh di tempat sembelihannya. Maka sucikanlah diri kamu dengan menyembelih haiwan korban. (Hadis riwayat Ibnu Majah & Tirmizi) 

Dari sudut lain, ibadat korban ini adalah satu mekanisma yang konkrit untuk mempereratkan lagi jalinan kemesraan dan kasih sayang sesama masyarakat. Mereka yang berkemampuan melakukan ibadat korban ini akan mengagih-agihkan sebahagian daging korban tersebut kepada golongan yang kurang bernasib baik terutamanya golongan fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan seumpamanya.  Kesemua ini adalah satu manifestasi dari makna kesyukuran ke hadrat Allah di atas segala kurniaan nikmat yang tiada terhitung kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (Surah al-Hajj, ayat 36)
            
Jelas dari maksud ayat suci di atas bahawa disunatkan kepada sesiapa yang menjalankan ibadat korban supaya mengambil sepertiga daripada daging korban tersebut untuk keluarga sendiri dan memberikan selebihnya kepada orang-orang miskin dan juga orang-orang yang meminta. Jika diberikan keseluruhan daging korban itu kepada golongan fakir miskin, maka itu adalah yang sebaiknya dan afdal di sisi Allah.
            
Selanjutnya, sesiapa yang menjalankan ibadat korban ini disunatkan agar menyembelih binatang korban itu sendiri dan jika tidak mampu, dia hendaklah menyaksikan upacara korban itu terutamanya apabila darah pertama mula mengalir ke bumi kerana di waktu itulah Allah akan mengampuni dosa-dosa yang telah lalu dari orang yang melakukan korban itu. Dalam hal ini, Rasulullah telah menyuruh puterinya Saidatina Fatimah untuk menyaksikan sendiri upacara ibadat korban yang dijalankan atas namanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Bangunlah dan pergilah saksikan ibadat korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan darah pertama  yang mengalir akan diampunkan dosa kamu yang lepas. Fatimah bertanya kembali: Wahai Rasulullah! Apakah ia khusus kepada ahli keluarga atau umum kepada umat Islam? Jawab Baginda: Bahkan kepada seluruh umat Islam. (Hadis riwayat Al-Bazzar & Ibnu Hibban)
          
Demikianlah hikmah ibadat korban yang menyerikan lagi suasana keceriaan Hari Aidiladha yang menyaksikan satu kesedaran atau keinsafan yang cukup tinggi di kalangan umat Islam untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan ummah sejagat. Di samping itu, ibadat korban itu bertindak sebagai wahana pembersihan harta dan juga jiwa sanubari diri individu Muslim. Mudah-mudahan ibadah korban yang dilakukan oleh setiap Muslim sepanjang Hari Aidiladha diterima Allah. Amin…

Tuesday, November 2, 2010

TV Al Hijrah


JAMIL (tengah) menyaksikan penyerahan program oleh pengarah dan penerbit Erma Fatimah kepada Bukhari.


BERSANDAR kepada penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Mekah ke Kota Madinah yang memberi sinar kemenangan kepada Islam, TV Alhijrah kini muncul sebagai signifikan kepada penghijrahan penonton Malaysia daripada rancangan hiburan semata-mata kepada rancangan yang berbentuk Islamik tetapi masih lagi bersifat kontemporari dan disampaikan secara interaktif.

Dengan identiti gaya hidup Islam, waktu perdana di TV Alhijrah akan memberi ruang yang luas kepada rancangan-rancangan yang berunsur keagamaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, TV Alhijrah akan memberi tumpuan kepada kandungan yang memberi manfaat kepada penonton dan pada waktu yang sama menarik minat golongan sasaran.

“Walaupun masih baru, 60 peratus daripada kandungan TV Alhijrah merupakan terbitan tempatan manakala 40 peratus kandungan asing. TV Alhijrah pula menerbitkan 30 peratus daripada keseluruhan kandungan,” tambah Jamil pada sidang akhbar memperkenalkan TV Alhijrah di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai eksekutif TV Alhijrah, Bukhari Che Muda.

Menyasarkan penonton daripada golongan muda, remaja dan kanak-kanak yang mewakili 63 peratus penonton negara ini, kandungan siaran TV Alhijrah merangkumi pelbagai genre dalam penerbitan rancangan mereka seperti pengembaraan, drama, sejarah dan dokumentari.

Berpegang kepada prinsip dan nilai-nilai murni yang ingin ditonjolkan, rancangan menarik dan terbaik dari seluruh dunia yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dipilih untuk memenuhi selera moden masyarakat Malaysia. Antaranya, Last Queen of The Earth dari Iran, Bila Cinta Bertasbih dari Indonesia, dua buah filem dari Jepun, The Memoirs of Tomorrow dan Half of Confession, Leaps and Bounds dari Turki dan Winky Horse dari Belanda.

Selain itu, TV Alhijrah juga menyiarkan drama-drama terbitan syarikat produksi tempatan. Drama bersiri terbitan KL Motion Sdn. Bhd., Alauddin yang berkisar di zaman Kesultanan Melayu Melaka dan usaha pemerintah ketika itu dalam menyebarkan Islam di rantau Melayu.

Drama ini akan mengangkat mutu drama bersiri di Malaysia dengan penggunaan Imej Janaan Komputer (CGI), efek khas dan kostum yang menarik. Drama adaptasi dari sejarah nabi-nabi, Tidak Dihalalkan Epal Itu terbitan Zeel Production Sdn. Bhd. turut menemui penonton di TV Alhijrah.
Drama bersiri animasi kanak-kanak, Pada Zaman Dahulu terbitan Les Copaque dan rancangan Hamparan Rezeki dengan penggunaan boneka yang unik bakal menarik penonton kanak-kanak untuk mendekati Islam di usia muda.
Rancangan berbentuk hiburan, Teman-Teman (d) Al Hijrah terbitan ManjaFilm Sdn. Bhd. pula akan diisi dengan nyanyian syair-syair, puisi-puisi dan lagu-lagu rakyat yang akan disampaikan secara kontemporari.
Nak ke Mana Kita?, sebuah travelog yang mengisahkan perjalanan di tempat-tempat menarik seluruh Malaysia. Produk terbitan Ezar Sdn. Bhd. itu akan memaparkan homestay yang terdapat di Malaysia. Sementara, rancangan Bicara Hati terbitan Wayang Studios Intl. membicarakan keilmuan Islam dalam bentuk ceramah untuk renungan golongan muda-mudi.

Antara produk terbitan TV Alhijrah sendiri termasuklah Sinar Baru yang membicarakan dakwah kemanusiaan, rancangan gaya hidup, Menu Alam dan rancangan majalah wanita, Mata Al-Zahra. TV Alhijrah juga akan menyiarkan berita dalam dan luar negara dengan mengetengahkan muka-muka baru. TV Alhijrah boleh ditonton secara percuma bermula dengan siaran percubaan bermula semalam, 1 November dengan waktu siaran bermula dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam. Siaran hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad pula dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam. 

Siaran TV Alhijrah setakat ini hanya boleh diikuti dengan penggunaan antena bagi mencari frekuensi siarannya di lima negeri sahaja iaitu Lembah Klang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak. TV Alhijrah dijangka memulakan siaran penuh menerusi saluran yang akan ditentukan di Astro mulai 1 Disember 2010. Bagi mendapatkan maklumat lanjut sila layari laman sesawang di www.tvalhijrah.com.

Monday, November 1, 2010

Ibadah qurban dan Aqiqah

Ibadat korban merupakan suatu ibadat yang sangat digalakkan di dalam Islam, khususnya bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewangan. Ibadat korban telah disyariatkan oleh Allah pada tahun kedua Hijrah.

Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya kami (Allah) telah memberi engkau (wahai Muhamad) kebaikan yang banyak. Maka Sembahyanglah* engkau kerana Tuhanmu dan sembelihlah (korbanmu)”.
(Surah Al-Kautsar Ayat 1-2).

* Sembahyang yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah sembahyang sunat hari raya korban                    ( Aidil Adha).

Hukum

Hukumnya Sunat Muakkad (dituntut). Adapun bagi mereka yang bernazar, hukumnya wajib. Bagi mereka yang berkemampuan Makruh meninggalkan amalan ini.
 
Wajib hukumnya kepada Rasulullah berdasarkan hadis: “Diwajibkan ke atas ku melaksanakan ibadat korban namun ia merupakan satu amalan sunat bagi kamu”.
(Riwayat Imam Tirmizi)

Maksud Korban:-

Menyembelih binatang ternakan yang terdiri daripada unta, lembu, kambing dan kibas yang sampai umur* pada hari raya korban (Aidil Adha) iaitu pada 10 Zulhijjah selepas sembahyang sehingga gelincir matahari hari terakhir tasyrik iaitu 13Zulhijjah dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.
*Umur binatang yang boleh dikorbankan:- 
Unta 5 thn ke atas – 7 bahagian.
Lembu, kerbau 2 thn ke atas – 7bahagian. 
Kambing 2 thn ke atas- 1 bahagian. Biri-biri, kibas 1 ½ thn- 1 bahagian.
٭ Ditegah berkorban dengan binatang yang cacat, berpenyakit, patah anggotanya dan terlalu kurus.

Sunat-sunat ketika menyembelih binatang korban:-
1. Membaca Basmalah
2. Selawat ke atas nabi
3. Menghadap kiblat
4. Bertakbir
5. Berdoa supaya diterima ibadah korban itu.

Nota:
a) Daging korban yang diniat nazar oleh orang yang bernazar, hendaklah disedekahkan semuanya.
b) 1/3 daripada daging korban sunat boleh dimakan oleh mereka yang berkorban dan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin, boleh juga disedekahkan kepada orang kaya mengikut mazhab Syafie..

Mereka yang melakukan ibadat korban disunatkan menyaksikan penyembelihan binatang korban tersebut seperti mana sabda Rasulullah maksudnya:

“Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampun bagimu atas dosa-dosa yang telah lalu”.
(Riwayat Bazzar dan Ibnu Hibban).

# Menyaksikan sendiri perlaksanaan korban tidak termasuk dalam syarat-syarat ibadat korban.
# Imam Khatib Syarbini di dalam kitabnya Mughni Al-Muhtaj menyatakan, disunatkan bagi mereka yang melaksanakan korban untuk menyembelih sendiri binatang korban tersebut, sekiranya tidak mampu disunatkan bagi mereka untuk menyaksikan penyembelihan itu.

Aqiqah

Maksudnya ialah menyembelih kambing atau binatang ternakan seperti biri-biri, kibas untuk anak yang baru lahir khususnya pada hari yang ketujuh kelahirannya atau selewat-lewatnya sebelum baligh.Hukumnya sunat muakkad.
Antara dalilnya ialah Hadis Rasulullah s.a.w.:
Dari Samirah, katanya Rasulullah s.a.w.telah bersabda: Setiap anak itu digadaikan dengan aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuhnya, diberi nama dan dicukur kepalanya. (HR Ashabus Sunan)

Syarat-syarat Aqiqah
a) Dari sudut umur binatang Aqiqah & korban sama sahaja.
b) Sembelihan aqiqah dipotong mengikut sendinya dengan tidak memecahkan tulang sesuai dengan tujuan aqiqah itu sebagai “Fida’”(mempertalikan ikatan diri anak dengan Allah swt).
c) Sunat dimasak dan diagih atau dijamu fakir dan miskin, ahli keluarga, jiran tetangga dan saudara mara. Berbeza dengan daging korban, sunat diagihkan daging yangbelum dimasak.
d) Anak lelaki disunatkan aqiqah dengan dua ekor kambing dan seekor untuk anak perempuan kerana mengikut sunnah Rasulullah.

‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya: "Afdhal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."
(Hadis riwayat al-Hakim)

Bila tempoh aqiqah?
Disunatkan melakukan aqiqah pada hari ketujuh kelahiran anak, sebagaimana yang terkandung di dalam hadis riwayat al-Baihaqi dari Aisyah.

Berikut ini adalah beberapa pendapat ulamak mengenainya:
Kata Imam al-Rafi’i dan selainnya, aqiqah tidak luput (kesunnahannya) sebab habis tempoh tujuh hari.
Al-Mawardi pula berkata, bahawa aqiqah selepas hari ketujuh dianggap sebagai qadhak.
Al-Syairazi berkata di dalam al-Muhazzab, jika melakukan aqiqah selepas hari ketujuh atau sebelumnya, iaitu selepas kelahiran anak, maka itu sudah memadai (dibolehkan). Dan tidak boleh melakukan aqiqah sebelum kelahiran anak. Imam al-Nawawi berkata, tidak luput kesunahan aqiqah dengan melewatkannya melebihi tujuh hari, tetapi disunatkan tidak melewatkannya sehingga anak itu mencecah usia baligh.