Monday, November 1, 2010

Ibadah qurban dan Aqiqah

Ibadat korban merupakan suatu ibadat yang sangat digalakkan di dalam Islam, khususnya bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewangan. Ibadat korban telah disyariatkan oleh Allah pada tahun kedua Hijrah.

Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya kami (Allah) telah memberi engkau (wahai Muhamad) kebaikan yang banyak. Maka Sembahyanglah* engkau kerana Tuhanmu dan sembelihlah (korbanmu)”.
(Surah Al-Kautsar Ayat 1-2).

* Sembahyang yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah sembahyang sunat hari raya korban                    ( Aidil Adha).

Hukum

Hukumnya Sunat Muakkad (dituntut). Adapun bagi mereka yang bernazar, hukumnya wajib. Bagi mereka yang berkemampuan Makruh meninggalkan amalan ini.
 
Wajib hukumnya kepada Rasulullah berdasarkan hadis: “Diwajibkan ke atas ku melaksanakan ibadat korban namun ia merupakan satu amalan sunat bagi kamu”.
(Riwayat Imam Tirmizi)

Maksud Korban:-

Menyembelih binatang ternakan yang terdiri daripada unta, lembu, kambing dan kibas yang sampai umur* pada hari raya korban (Aidil Adha) iaitu pada 10 Zulhijjah selepas sembahyang sehingga gelincir matahari hari terakhir tasyrik iaitu 13Zulhijjah dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.
*Umur binatang yang boleh dikorbankan:- 
Unta 5 thn ke atas – 7 bahagian.
Lembu, kerbau 2 thn ke atas – 7bahagian. 
Kambing 2 thn ke atas- 1 bahagian. Biri-biri, kibas 1 ½ thn- 1 bahagian.
٭ Ditegah berkorban dengan binatang yang cacat, berpenyakit, patah anggotanya dan terlalu kurus.

Sunat-sunat ketika menyembelih binatang korban:-
1. Membaca Basmalah
2. Selawat ke atas nabi
3. Menghadap kiblat
4. Bertakbir
5. Berdoa supaya diterima ibadah korban itu.

Nota:
a) Daging korban yang diniat nazar oleh orang yang bernazar, hendaklah disedekahkan semuanya.
b) 1/3 daripada daging korban sunat boleh dimakan oleh mereka yang berkorban dan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin, boleh juga disedekahkan kepada orang kaya mengikut mazhab Syafie..

Mereka yang melakukan ibadat korban disunatkan menyaksikan penyembelihan binatang korban tersebut seperti mana sabda Rasulullah maksudnya:

“Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampun bagimu atas dosa-dosa yang telah lalu”.
(Riwayat Bazzar dan Ibnu Hibban).

# Menyaksikan sendiri perlaksanaan korban tidak termasuk dalam syarat-syarat ibadat korban.
# Imam Khatib Syarbini di dalam kitabnya Mughni Al-Muhtaj menyatakan, disunatkan bagi mereka yang melaksanakan korban untuk menyembelih sendiri binatang korban tersebut, sekiranya tidak mampu disunatkan bagi mereka untuk menyaksikan penyembelihan itu.

Aqiqah

Maksudnya ialah menyembelih kambing atau binatang ternakan seperti biri-biri, kibas untuk anak yang baru lahir khususnya pada hari yang ketujuh kelahirannya atau selewat-lewatnya sebelum baligh.Hukumnya sunat muakkad.
Antara dalilnya ialah Hadis Rasulullah s.a.w.:
Dari Samirah, katanya Rasulullah s.a.w.telah bersabda: Setiap anak itu digadaikan dengan aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuhnya, diberi nama dan dicukur kepalanya. (HR Ashabus Sunan)

Syarat-syarat Aqiqah
a) Dari sudut umur binatang Aqiqah & korban sama sahaja.
b) Sembelihan aqiqah dipotong mengikut sendinya dengan tidak memecahkan tulang sesuai dengan tujuan aqiqah itu sebagai “Fida’”(mempertalikan ikatan diri anak dengan Allah swt).
c) Sunat dimasak dan diagih atau dijamu fakir dan miskin, ahli keluarga, jiran tetangga dan saudara mara. Berbeza dengan daging korban, sunat diagihkan daging yangbelum dimasak.
d) Anak lelaki disunatkan aqiqah dengan dua ekor kambing dan seekor untuk anak perempuan kerana mengikut sunnah Rasulullah.

‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya: "Afdhal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."
(Hadis riwayat al-Hakim)

Bila tempoh aqiqah?
Disunatkan melakukan aqiqah pada hari ketujuh kelahiran anak, sebagaimana yang terkandung di dalam hadis riwayat al-Baihaqi dari Aisyah.

Berikut ini adalah beberapa pendapat ulamak mengenainya:
Kata Imam al-Rafi’i dan selainnya, aqiqah tidak luput (kesunnahannya) sebab habis tempoh tujuh hari.
Al-Mawardi pula berkata, bahawa aqiqah selepas hari ketujuh dianggap sebagai qadhak.
Al-Syairazi berkata di dalam al-Muhazzab, jika melakukan aqiqah selepas hari ketujuh atau sebelumnya, iaitu selepas kelahiran anak, maka itu sudah memadai (dibolehkan). Dan tidak boleh melakukan aqiqah sebelum kelahiran anak. Imam al-Nawawi berkata, tidak luput kesunahan aqiqah dengan melewatkannya melebihi tujuh hari, tetapi disunatkan tidak melewatkannya sehingga anak itu mencecah usia baligh.