Monday, April 25, 2011

Terima Kasih Dato' Wan Mohamad, Tahniah Tuan Haji Othman


 
jakim image
 
“Makan Sedulang, Tidur Sebantal,
Sekapal Sepelayaran, Sepadang Sepermainan,
Sekhemah Sepertiduran, Sekereta Seperjalanan,
Segelanggang Seperguna, Seperindah,
Sepermainan, Sampai Masa Berpisah Jua”….
 
21 April 2011, menjadi antara tarikh bersejarah buat seluruh warga Jakim yang menerima dua perkhabaran berita; iaitu berita yang menyedihkan dan menggembirakan.
 
Dalam satu Majlis Serah Terima Tugas Ketua Pengarah Jakim, ia menjadi tarikh terakhir bagi YBhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abddul Aziz; Ketua Pengarah Jakim dalam perkhidmatan awam.  Dalam masa yang sama, Jakim memanjatkan kesyukuran dengan perlantikan YBhg. Tuan Hj. Othman bin Mustapha selaku Ketua Pengarah Jakim yang baru berkuatkuasa bermula 24 April 2011 ini.
 
Majlis Serah Terima Tugas tersebut turut disaksikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom; Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri memuji dan menghargai perkhidmatan cemerlang yang telah disumbangkan oleh YBhg. Dato’ Wan Mohamad sehingga Jakim menjadi sebuah sebuah institutsi agama yang aktif dan dihormati. Dalam masa yang sama, YB Menteri telah mengumumkan YBhg. Dato’ Wan Mohamad dilantik sebagai Pengerusi bagi Institut Profesional Baitulmal dan Institut Kemahiran Baitulmal yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
 
Turut diumumkan  adalah perlantikan YBhg. Tuan Hj. Razali bin Shahbudin sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) yang baru, kenaikan pangkat Jusa C kepada Jusa B mengantikan tempat Tuan Hj. Othman, manakala Puan Hajah Ramlah binti Yong dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan Insan sekaligus lantikan kepada Jusa C menggantikan tempat YBhg. Tuan Hj. Razali.
 
Sementara itu, YBhg. Tuan Hj. Mohamad Nordin bin Ibrahim akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) yang baru, bakal menggantikan tempat YBhg. Tuan Hj. Halid bin Sintol yang dijadualkan bersara pada 24 Mei 2011. Manakala tempat sebagai Pengarah Bahagian Kemajuan Islam akan diisi oleh Tuan Hj. Zainal Abidin bin Jaafar yang juga lantikan kepada Jusa C.
 
Pada hari yang sama, Puspanita Jakim turut meraikan hari terakhir bersama YBhg. Datin Hajah Sa’adiah binti Ahmad Rashdi  selaku Pengerusi pada sebelah petangnya di Bilik Mesyuarat Bahagian Dakwah Jakim. Majlis tersebut diadakan turut bertujuan untuk berkenalan dengan bakal Pengerusi Puspanita baru yang merupakan isteri kepada YBhg. Tuan Hj. Othman bin Mustapha iaitu Puan Hajah Rohani binti Mohamad.
 
Warga Jakim sekali lagi sebak sewaktu berkumpul di lobi Aras 1, Jakim pada jam 4.00 petang hari yang sama. Majlis Mengetik Kad Perakam Waktu terakhir Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abddul Aziz yang disaksikan bersama oleh ratusan warga jakim untuk bersalaman, bermaafan serta memberikan lambaian terakhir kepada YBhg. Dato’.
 
Sesungguhnya jasa dan bakti yang telah Dato’ Hj. Wan Mohamad curahkan selama ini kepada Jakim demi agama dan Negara khususnya amat besar dan tinggi nilainya dan akan terus sentiasa dikenang. Warga Jakim juga turut mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada YBhg. Tuan Hj. Othman bin Mustapha yang secara rasminya akan menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah JAKIM yang baru berkuatkuasa 24 April 2011 ini.

Tuesday, April 19, 2011

Majlis Pelancaran Imam Muda Astro Musim Kedua

18 April 2011 (Ahad) – Peserta Singapura dan Negara Brunei Darussalam antara yang tersenarai sebagai 10 calon Imam Muda 2, yang diumumkan melalui siaran langsung Astro Oasis dari Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), malam tadi.

Majlis memperkenalkan peserta musim kedua ini dirasmikan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dengan diiringi oleh YBhg. Tuan Haji Izelan Bin Basar, Pengurus Saluran Astro Oasis, YBhg. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali, Pengarah JAWI dan YBhg. Encik Khairul Anwar Bin Salleh, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro.

Antara peserta Imam Muda musim 2, Ali Khairudin Abdul Marif, 26 (Sabah), Mujahid Suhaimi, 20 (Singapura), Mohd Hassan Adli Yahaya, 26 (Perak), Nazrul Izwan Zolkiflee, 26 (Johor), Wan Najdi Wan Mohd Noh, 20 (Selangor), Mohd Fakhrurrazi Hussin, 27 (Terengganu), Zulfadli Awang, 24 (Brunei), Ammar Wan Harun, 27 (Kedah), Mohd Azlan Zulkarnain, 25 (Kuala Lumpur) dan Abdul Fattah Riddzwan, 21 (Negeri Sembilan).

Ustaz Hasan Mahmood Al-Hafiz, Bekas Imam Masjid Negara, sekali lagi dipilih sebagai Mudir (Pengetua) yang akan membimbing calon Imam Muda dan dibantu Mursyid (Mentor) Ikmal Zaidi Bin Hashim, Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim, Tuan Asmawi Bin Tuan Umar dan Zulkefli Bin Hamat.

Hadir sama, YB. Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama suami, YBhg. Dato’ Abdul Shakur Bin Abu Bakar, YBhg. Datin Seri Hajjah Fatmawati Binti Haji Saidin, isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YBhg. Datin Hajjah Rakiah Mariana Binti Latiff, Isteri Pengarah JAWI.

    
    
    

Friday, April 15, 2011

Dia Bukan Cinta Nombor 1

Bayangkan setiap 15 minit berlaku perceraian ... Begitulah rapuhnya rumah tangga umat Islam di Malaysia. Rumah tangga adalah benteng terakhir ummah, tempat bermulanya tapak generasi. Jika di situ sudah bermasaalah,  di tempat lain tidak dapat dibayangkan lagi.  Ada sahaja kisah suami yang curang, isteri yang beralih cinta. Kekadang anak telah dua, tiga dan empat... tetapi masih ingin memburu cinta. Ada yang memburu di alam nyata (menjejak semula kekasih lama atau terjumpa kekasih baru), ada yang memburu cinta di alam siber – bencinta lewat laman sosial internet yang serba maya.
Entah apa yang diburu oleh manusia ini... yang hidup di dunia tanpa menyedari hari kembalinya yang pasti ke akhirat. Di mana diletakkan Allah dalam peta cintanya sesama manusia. Suami yang ada dipersia, lelaki lain pula dicari sebagai ganti. Konon suaminya tidak bertanggung jawab, tidak romantik, tidak pandai membelai atau apa sahaja. Berikan nama yang buruk pada anjing dan bunuh saja! Begitu kata pepatah Inggeris. Apabila hati sudah berubah, segala kebaikan dahulu dilupakan. Ada pula, isteri yang di sisi sudah setia, perempuan baru pula diburu kononnya demi cinta sejati. Segala yang buruk-buruk dibongkar, dijadikan justifikasi untuk menghalalkan cinta baru yang digilai siang dan malam.
Manusia-manusia itu seperti kelkatu yang terbang menuju sumber cahaya. Sudah ramai yang terhantuk lalu jatuh bergelimpangan di lantai... namun kelkatu yang lain masih terus terbang menuju tempat yang sama. Tidak pernah ada yang mengambil iktibar daripada korban-korban yang telah bergelimpangan. Maka begitulah suami atau isteri yang tertipu ini, memburu cinta bagaikan kelkatu memburu cahaya...
Percayalah, tujuanmu tidak akan tercapai, bahkan akan terjadi kebinasaan. Namun dia degil, dia pergi jua. Percayalah, tidak akan ada ketenangan dan kebahagiaan di atas kesusahan, kezaliman dan penindasan terhadap orang lain (apatah lagi yang dizalimi itu isteri atau suami atau anak-anak mu sendiri). Allah benci orang zalim! Dan kebencian itu sudah cukup untuk menyebabkan penderitaan seumur hidup.
Mengapa kau zalimi anak mu, isteri atau suami mu? Apakah dosa mereka terlalu besar hingga kau tidak sudi lagi memaafkan? Apakah kau tidak menyedari bahawa pasangan mu adalah cermin kepada diri mu sendiri? Maksudnya, siapa pasangan kita ditentukan juga oleh siapa kita  yang sebenarnya? Dirimu dan pasanganmu saling mencorakkan. Ketika palitan hitam kau katakan ada pada wajahnya, sedarkah engkau bahawa kau juga yang pernah melakarkannya? Jadi, bertanggung jawablah. Jangan lari. Binalah semula rumah tangga mu... kerana cinta yang ada di tanganmu kini adalah nyata, manakala yang kau buru itu mungkin hanya fotomorgana.
Bagi suami atau isteri yang ditinggalkan... sedarkan dia. Doakan dia. Berusahalah sedaya mungkin untuk 'mengembalikan' dia kepada cinta yang nyata. Namun kalau dia berdegil, biarlah dia pergi. Hidupmu terlalu singkat untuk 'dirosakkan' oleh dia seorang. Ingat dia itu bukan cinta nombor 1!
Nombor 1 Allah. Nombor 2 Rasulullah. Nombor 3, suami). Itulah turutan cinta seorang wanita bernama isteri, (jika  pada lelaki, nombor 3 itu ibu, no 4 itu apa, no 5 baru isteri). Agar tidak menderita, jagalah turutan cinta ini. Yang dahulu, wajar didahulukan. Yang kemudian, mesti dikemudiankan. Jangan disusun cinta itu begini... Nombor 1 suami. Nombor 2 suami. Nombor 3 pun suami. Ini tindakan yang bakal mengundang kecewa.
Jangan pinggirkan Allah kerana Dia yang mengurniakan rasa cinta. Jangan dilupakan Rasulullah kerana dia yang memberi panduan untuk bercinta. Ingat pesan Rasulullah melalui sabda Baginda dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud:
"Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya."
"Jika" hanya "jika". "Jika" akan kekal sebagai "jika". Ia tidak pernah berlaku. Seorang wanita tidak boleh menyembah manusia lain sekalipun suaminya sendiri. Sebaiknya, cintailah suami dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah kerana Allah. Itulah resepi untuk bahagia dalam bercinta!
Betapa ramai isteri yang kecewa akibat ditinggalkan suami yang dicintai. Sama ada dipisahkan oleh mati atau oleh sikap suami yang tidak mencintainya lagi. Bayangkan apabila segala-galanya untuk dan kerana suami, apabila suami tidak ada lagi, putus harapan dan berserabutlah fikiran. Ramai yang sudah menerima nasib begini... Bayangkan setiap 15 minit, berlaku satu perceraian. Siapakah yang menempuh gerbang perkahwinan dengan harapan untuk bercerai? Tidak mungkin ada!
Mukadimah Penentu Natijah
Perkahwinan dibina dengan harapan. Untuk mencapai harapan, tidak cukup dengan rasa cinta. Ia perlukan tanggungjawab. Kata bijak pandai, sesuatu akan berakhir mengikut bagaimana ia bermula. Mukadimah banyak menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya di syurga), mesti diperkukuh dari pangkalnya. Perkahwinan dimulakan dengan percintaan, tetapi disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab itu ahli bijaksana mendefinisikan cinta sebagai "rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang".
Janganlah hendaknya cinta dan rumah tangga dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Itulah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan untuk haiwan (demikian kata al-Farabi). Juga bukan untuk mengejar status sosial. Jika rumah tangga hanya dibina untuk makan minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks), kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego), apa bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Itu cinta kelas kedua.
Jika itulah bentuk cinta kita, itu hanya cinta alat bukan matlamat. Cinta kelas kedua mesti dibawa kepada cinta kelas pertama. Pandang wajah suami kita, bolehkah dia membawa kita kepada cinta Allah? Renung mata isteri kita, apakah dia teman kita menuju Allah? Jika ya, alhamdulillah, syukur. Kita sudah berada di jalan yang betul. Maka melangkahlah dengan yakin walau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan.
Jika belum, berusahalah, berdoalah... agar dia mampu juga. Jika tidak hari ini, esok. Jika tidak esok, lusa. Teruskan berusaha dan berdoa.

Taklimat Penubuhan Universiti Islam Malaysia (Kolej Islam Malaya)


 
Pada 8 April 2011 telah diadakan perjumpaan antara YBhg.  Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor; Pengerusi LEPAI dengan YB Dato’ Seri Muhamad Khaled Nordin; Menteri Pengajian Tinggi di Pejabat YB Menteri  Kementerian Pengajian Tinggi di Kompleks E, Putrajaya.
 
Perjumpaan tersebut diadakan bagi memaklumkan usaha LEPAI untuk mengaktifkan semula KIM dan membincangkan perkara berkaitan tentang penubuhan Universiti Islam Malaysia. Perjumpaan tersebut diadakan rentetan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 pada 13 – 14 Oktober 2010 di Istana Negara bagi mengaktifkan semula Kolej Islam Malaya dengan nama Universiti Islam Malaysia.
 
jakim image
YBhg. Tan Sri Pengerusi LEPAI sedang menyampaikan Taklimat kepada YB Menteri Pengajian Tinggi.
 
jakim image
Pengarah Bahagian Kemajuan Islam turut hadir dalam perjumpaan tersebut.

Thursday, April 7, 2011

"Japan Releif Fund Hand Over Ceremony From Federal Territory Mosques To The Embassy Of Japan"

6 April 2011- Satu majlis penyerahan sumbangan yang dinamakan "Japan Releif Fund Hand Over Ceremony From Federal Territory Mosques To The Embassy Of Japan"  telah diadakan di Hotel Putra Kuala Lumpur bagi menyerahkan jumlah kutipan derma hasil sumbangan masyarakat di masjid-masjid utama dan masjid sekitar Wilayah Persekutuan kepada  mangsa Tsunami di Jepun. Ia merupakan inisiatif yang telah di ambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  sebagai satu sumbangan masyarakat Malaysia kepada mangsa musibah tsunami di Jepun baru-baru ini atas rasa simpati dan semangat kemanusian.
 
            Hasil kutipan derma yang telah di laksanakan oleh Jakim melalui empat buah masjid utama dan seluruh masjid di sekitar wilayah persekutuan adalah berjumlah  sebanyak RM 117,360.25. Penyerahan derma itu diberikan kepada tetamu hormat yang hadir iaitu wakil daripada Negara Jepun yang mewakili Duta Jepun di Malaysia yang tidak dapat hadir iaitu Mr.koichi Ito ; menteri dan timbalan pengerusi misi dan En.Yamakawa setiausaha 1 oleh YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom; menteri di Jabatan Menteri. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Dato’ Wan Mohamad bin Dato' Sheikh Abdul Aziz; Ketua Pengarah Jakim.
 
            Hasil kutipan derma tersebut telah dilaksanakan oleh masjid-masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra, Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Wilayah Persekutuan serta masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan. Kutipan derma tersebut telah dilaksanakan pada 25 Mac 2011 yang lalu iaitu sewaktu solat jumaat pada minggu lalu.
 
jakim image
 
jakim image
 
jakim image
 
jakim image

Wednesday, April 6, 2011

Isu Seruan Mengamalkan Vegetarian Oleh The Supreme Ching Hai International Association

Baru-baru ini telah tersebar risalah yang merupakan salinan terjemahan berkaitan Seruan Mengamalkan Vegetarian Oleh The Supreme Ching Hai International Association.
 
Risalah ini memuatkan beberapa saranan dan seruan Master Ching Hai yang merupakan Mahaguru pertubuhan ini ke arah gaya hidup yang lebih sempurna dalam usaha menyelamatkan dunia melalui pengamalan Vegetarian yang diamalkan oleh sesetengah agama. Seruan ke arah Vegetarian ini merupakan satu seruan yang telah dihantar ke seluruh dunia oleh The Supreme Master Ching Hai International Association di samping menyeru seluruh agama bersatu membasmi isu alkohol dan penyalahgunaan dadah.
 
Master Ching Hai berpandangan bahawa amalan Vegetarian dapat mengatasi dan membasmi masalah-masalah yang melanda dunia pada hari ini. Beliau telah memetik hujah-hujah berpandukan kitab suci agama-agama di dunia ini seperti hadith, petikan ajaran Buddha Tibet, falsafah Taoisme, ajaran Bahai, falsafah Cao Dai, Essene, Jainisme, Sikh, Zoroaster, Old Testament Yahudi dan lain-lainnya. 
Pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh beliau dengan berasaskan dalil dan hujah berasaskan petikan hadith adalah menyimpang dari kebenaran kerana hadith yang dinyatakan tersebut mengandungi keraguan dari segi matan, maksud serta huraiannya yang tiada kena mengena dengan seruan Vegetarian sama sekali.
 
Bagi menjawab isu seruan Vegetarian ini, Presiden Islamic Relief Foundation (IRF) yang berpusat di Mumbai, India menyatakan di dalam bukunya 20 Most Common Questions About Islam berkata :
If every human being was a vegetarian, it would lead to overpopulation of cattle in the world, since their reproduction and multiplication is very swift. Allah swt in His Divine Wisdom knows how to maintain the balance of His creation appropriately. No wonder He has permitted us to have the meat of the cattle.
 
Pemerhatian awal terhadap isu  ini, dapat disimpulkan bahawa hujah-hujah yang digunakan oleh Master Ching Hai dalam menyeru kepada amalan Vegetarian adalah tidak berasas apatah lagi huraian kefahamannya adalah jauh tersasar dari disiplin syarahan nas-nas agama.
Sebaliknya Al-Quran telah menghalalkan daging haiwan tertentu sebagai rezeki yang dikurniakanNya kepada manusia sebagaimana firman Allah menerusi surah Al-Maidah ayat 1 yang bermaksud :
 
“Wahai orang-orang beriman. Tunaikanlah janji. Dihalalkan kepadamu (memakan) binatang-binatang ternakan kecuali yang akan disebutkan (pengharamannya) kepadamu. (Halalnya binatang ternakan tersebut bukanlah bermaksud) dibolehkan kamu berburu ketika kamu di dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendakki.”
 
Firman Allah di dalam Surah An-Nahl ayat 5 :
“Dan binatang ternakan itu diciptakan olehNya untuk (diambil manfaat) sebagai pemanas tubuh (sebagai pakaian) dan untuk kamu makan.”