Monday, September 19, 2011

Ulama, Umara Dan Ummah

ULAMA perlu memiliki ketinggian ilmu dan bersedia menyumbang pemikiran bagi pembangunan ummah sejagat selain membimbing manusia ke jalan yang diredai Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w menyifatkan ulama seperti bintang di langit dengan memegang amanah bagi menjamin kesejahteraan umat Islam.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang itu mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Mereka perlu jujur dan ikhlas dalam melaksanakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan. Sebagai ulama mereka perlu memiliki sifat sabar, lemah lembut, berhikmah, bersikap ramah, menghormati pendapat orang lain dan saling menasihati serta memuliakan saudara lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Berbicaralah dengan manusia menurut akal dan fikirannya. Gembirakanlah mereka dan janganlah dijauhkan; mudahkan jangan disukarkan. Inilah cara menyeru manusia kepada agama Allah. Bersoal jawab dengan masyarakat sebaik-baiknya iaitu sehingga memuaskan hati dan menghilangkan keraguan mereka. Sebab itu ulama wajib mengetahui pelbagai cabang ilmu. Jika tidak pasti, masyarakat mudah menolak ajaran yang bertentangan dengan ilmu pengetahuan mereka.

Perkara paling penting yang perlu dilakukan golongan ulama ialah menggalas tanggungjawab melindungi umat Islam daripada sebarang usaha penyelewengan agama seperti murtad, khurafat, bid'ah, syirik dan tahyul.

Maka umat Islam perlu mengiktiraf ulama sebagai pemimpin yang berwibawa. Ibnu Abbas berkata: "Ulama adalah orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi: Orang alim tentang Allah Maha Penyayang adalah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiat-Nya di samping yakin bahawa dia tetap akan menemui-Nya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

Semakin tinggi ilmu yang dimiliki seorang ulama maka bertambah takut mereka kepada Allah. Mereka akan sentiasa menjunjung amanah bagi menyampaikan hak dan kebenaran. Jelas karakter yang dimiliki golongan ilmuwan menjadi lambang kekuatan iman dan harapan umat Islam supaya kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam yang suci.

Berbeza dengan watak golongan ulama dunia di mana mereka hanya bermotifkan untuk mendapat habuan dunia. Apabila bertambah ilmunya, semakin ingkar mereka kepada perintah Allah.

Sebagai persiapan menghadapi pelbagai cabaran mendatang, ulama perlu sentiasa mengikuti perkembangan supaya mereka dapat menangani masalah semasa itu dengan baik.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menjalankan hukum (pemerintahan) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang diturunkan oleh Allah". (Surah al-Maidah ayat 48)

Ulama berperanan menanamkan kesedaran dan memimpin masyarakat menghayati serta melaksanakan cara hidup selaras dengan tuntutan agama. Bersikap berkecuali tidak boleh sesekali diamalkan golongan ulama kerana mereka perlu memperbetul serta menjelaskan perkara sebenar andai kata berlaku permasalahan di kalangan umat Islam.

Mereka perlu berpendirian tegas menangani sebarang isu berdasarkan ilmu agama yang dimilikinya. Tohmahan terhadap golongan ulama pasti timbul jika perjuangan menyebar dan menegakkan ajaran agama dicemari kepentingan peribadi seperti harta benda, kedudukan, pangkat dan penghormatan. Abu Nu'aim menyatakan bahawa Nabi mengatakan: "Dua golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rosaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan pemerintah."

Terdapat kisah keberanian seorang ulama yang tidak mengejar pangkat dan kedudukan atau kepentingan seseorang iaitu Imam Nawawi. Beliau tetap mengatakan sesuatu perkara itu benar menurut hukum. Menurut riwayat, apabila baginda Sultan al-Malik al-Zahir mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang Tatar (Monggol) digunakan fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat bagi memenuhi kepentingan perang melawan musuh. Seorang ulama fiqh dari Syam menulis menerangkan fatwa itu tetapi baginda masih tidak berpuas hati jika Imam Nawawi tidak memberi fatwanya. Baginda seterusnya menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan.
Beliau tidak mahu memberi fatwanya dan memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan keengganannya. Beliau dapat tahu bahawa baginda memiliki 1,000 hamba. Setiap seorang mempunyai beberapa ketul emas manakala 200 khadam wanita baginda memiliki barang perhiasan bernilai. Jika baginda membelanjakan semua itu demi keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang itu, maka beliau bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan baginda mengambil harta rakyat.

Imam Nawawi berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selagi kekayaannya tidak digunakan. Sultan al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya amat menggemparkan sehingga baginda memerintahkan beliau keluar dari Damsyik. Imam Nawawi menerima perintah pengusirannya itu. Namun ulama Syam berusaha menjemputnya pulang tetapi beliau enggan selagi baginda masih berkuasa.

Ulama perlu berani menyatakan pandangan mereka terhadap perkara yang dirasakan bertentangan, namun setiap teguran itu perlulah dilakukan dengan penuh hikmah.

Penceramah, Mohd Rani Awang Besar berkata, ulama adalah golongan yang Allah kurniakan kepada mereka ilmu agama yang tinggi hasil daripada bertahun-tahun lamanya mereka menuntut ilmu.

"Allah berfirman dalam Surah Faathir ayat 28 yang bermaksud: "Hanya yang takut kepada Allah ialah ulama-ulama di antara hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."

"Maka jelaslah apabila semakin tinggi ilmu mereka tentang kejadian alam yang dijadikan Allah maka bertambah takut mereka kepada Allah," katanya. Beliau berkata, terdapat dua bahagian ulama iaitu ulama akhirat dan ulama dunia yang menjalankan peranan berbeza-beza. "Sebagai pewaris tugas Nabi Muhammad, mereka perlu sentiasa menegakkan kebenaran dan tidak takut dengan manusia. "Terdapat ulama yang menggunakan ilmu mereka bagi menyebar luas dakwah ke seluruh pelosok dunia bagi mendapatkan keredaan Allah semata-mata manakala ulama dunia menggunakan peluang untuk mengejar pangkat serta kedudukan," katanya. Mohd Rani berkata, tugas penting seorang ulama akhirat ialah berusaha semampu mungkin berdakwah kepada semua golongan dalam melahirkan umat Islam berilmu dan bertakwa. 

"Ulama perlu tegas dan berani menyatakan pendirian mereka dalam satu isu yang bersalahan dengan syariat. Yang betul katakan dengan jelas ia benar manakala yang batil jangan sesekali membisukan diri."Golongan ulama tidak pernah takut terhadap apa saja bentuk halangan yang menimpa diri mereka. Jauh sekali jika mereka tahu kesalahan itu tetapi mengambil jalan mudah hanya mendiamkan diri tanpa melakukan sebarang tindakan," katanya.

Beliau berkata, terdapat sebuah hadis daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali." (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

"Daripada hadis ini, kita dapat saksikan ulama yang dimaksudkan ialah ulama su' (jahat). Ulama seperti ini hanya memandang hal keduniaan," katanya. 
 
Sumber Artikel: Harian MetroIlustrasi Oleh: Ikhsan Isey

Sunday, September 18, 2011

Peranan Penguatkuasaan Syariah Dalam Membendung Gejala Pembuangan Bayi.

 Oleh: Mahfudzah binti Mohamad (Bahagian Penyelarasan Undang-Undang, Jakim)
Masalah gejala sosial yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda pengurangan kini berubah kepada keadaan yang amat membimbangkan khususnya kes pembuangan bayi. Trend pembuangan bayi di Malaysia seperti menjadi sumpahan apabila tabiat kejam dan tidak berperikemanusiaan ini semakin popular di kalangan remaja.
Malah bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2010, sejumlah 24 kes pembuangan bayi dilaporkan. Ini menyamai trend membunuh tiga nyawa tidak berdosa bagi setiap dua minggu atau dengan kata lain, wujud 3 pembunuh atau pembuang senyap dalam setiap minggu.
Persoalannya, apakah punca utama masalah ini dan adakah tidak ada jalan penyelesaian bagi mengatasinya? adakah peruntukan undang-undang berkaitan masih tidak mencukupi dan penguatkuasaannya masih longgar sehingga menyebabkan ‘pembuang senyap’ ini amat berani beraksi tanpa mengambil kira keadaan sekeliling? Atau adakah institusi kekeluargaan kini telah sampai kepada tahap kritikal sehingga keadaan anak perempuan mereka yang hamil ini langsung tidak disedari oleh ibu bapa dan penjaga?
Selain usaha menerapkan nilai-nilai agama dalam masyarakat khususnya di dalam institusi keluarga, tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah buang bayi juga amat perlu ditingkatkan memandangkan gejala ini dilihat semakin menjadi-jadi. Bagi tindakan penguatkuasaan syariah pula, ia lebih kepada pencegahan kerana peruntukan kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran tidak diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah. Namun tindakan pencegahan inilah menjadi suatu perkara yang amat penting kerana ia melibatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan khalwat, perbuatan tidak sopan di tempat awam, hamil luar nikah, persetubuhan luar nikah dan lain-lain kesalahan berkaitan.
Namun masyarakat sering kali mempersoal tindakan penguatkuasaan syariah yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (PPA) ini. Segala macam tohmahan dilempar kepada PPA yang kononnya hanya ingin “menjaga tepi kain orang”. Apabila kes berjaya disabitkan dan hukuman dijatuhkan, timbul pula tohmahan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah bersifat menghina, kolot, menghalang kebebasan individu dan menjatuhkan maruah wanita khasnya bagi hukuman sebat syariah.
Falsafah hukuman jenayah dalam Islam dan matlamat hukuman dalam Enakmen Jenayah Syariah ialah untuk pencegahan, pembalasan terhadap perbuatan salah, ganti rugi dan pemulihan. Aspek pencegahan adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kejahatan. Pencegahan akan berhasil apabila timbul rasa takut di kalangan masyarakat terhadap hukuman yang dikenakan. Pencegahan seperti ini terdapat pada semua hukuman yang ditetapkan oleh Undang-Undang Islam. Ini kerana keseluruhan hukuman ini mengandungi unsur-unsur yang membuatkan masyarakat takut untuk menghadapinya.[1]
Manakala aspek pembalasan pula dinyatakan dengan tegas oleh Allah s.w.t di dalam Surah al-Maidah ayat 38:
"السارق والسارقة فاقطعوا أيديهما جزاء بما كسبا نكالا من الله"
Maksudnya: Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka telah lakukan.[2]
Hukuman yang berbentuk ganti rugi pula adalah hukuman yang yang dikenali sebagai hukuman diyat. Secara jelasnya ia terdapat dalam kes-kes pencerobohan yang dilakukan terhadap kepentingan orang lain. Ada juga hukuman yang diperuntukkan bertujuan sebagai pemulihan bagi pesalah-pesalah jenayah syariah. Pelaksanaan hukuman terhadap pesalah diharap dapat mengembalikan pesalah berkenaan ke jalan kebenaran dan menjauhkannya dari kemaksiatan. Firman Allah s.w.t dalam Surah az-Zukhruf ayat 48:
"وأخذناهم بالعذاب لعلهم يرجعون"

Monday, May 16, 2011

Jangan jadi lilin

“Jadilah lilin… yang membakar diri untuk menerangi… berkorban diri demi kebaikan orang lain!” itulah ungkapan ‘indah’ yang sering disebut orang kita.
Guru umpama lilin.
Kekasih umpama lilin.
Dan pelbagai siri lilin yang lain, terbakar diri untuk memberi.
Simbol pengorbanan.

LIKU DAKWAH

Dakwah adalah jalan yang penuh liku. Dari ujian kesusahan, hinggalah kepada ujian kesenangan malah kejemuan. Dakwah adalah wasilah Tarbiyah yang ertinya pada seni membentuk manusia. Tatkala usaha itu bersabit dengan manusia, banyaklah sakitnya berurusan dengan manusia. Semuanya ditempuh oleh pendakwah, demi matlamat Tarbiyah yang dijunjungnya, pada seni membentuk manusia.

“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu” 

Justeru kesakitan yang dialami oleh pendakwah adalah pada menggauli manusia, sebelum kesakitan berbentuk ujian yang datang dan pergi pada tabiat jalan dakwah. Dakwah itu perjuangan. Perjuangan seiringan dengan pengorbanan.

JANGAN JADI LILIN YANG TERBAKAR

Dakwah boleh menyinar segar kehidupan manusia yang diseru, mengeluarkan manusia dari gelap kepada cahaya. Jalannya payah dan perlukan sabar, ketika sabar itu digelar Nabi SAW sebagai sinar mentari. Sumber kebaikan, sumber kehidupan, namun sinar hanya datang dari bakaran yang bukan sebarangan.


“… dan sabar itu adalah sinar”

Jika dakwah itu membawa sinar, maka sinar itu jugalah yang perlu dijaga. Usaha menyinari manusia dan alam, terlalu mudah membakar diri orang yang menyerunya sendiri. Manusia penyeru boleh terbakar bukan kerana berkorban, tetapi terkorban kerana hilang kepedulian terhadap tuntutan ke atas diri sendiri. Mengajak orang kepada kebaikan, tetapi membiarkan diri musnah tanpa kebaikan yang sama. “Pendakwah seperti lilin”… mungkin bukan perumpaan yang hikmah.

Ingatlah pesan Nabi Sallallaahu ‘alayhi wa sallam, agar jangan sewenang-wenangnya kita mahu menjadi lilin:

“Perumpamaan orang yang mengajar orang ramai kebaikan tetapi melupakan dirinya sendiri adalah seperti lilin yang memberikan cahaya ke atas orang lain dan (dalam masa yang sama) membiarkan dirinya terbakar” 

Lilin itu menyinar. Tetapi sinarnya hasil terbakar diri. Ia menghasilkan manfaat buat orang lain, tetapi membiarkan diri binasa. Ia membekalkan kebaikan yang dimanfaatkan oleh semua orang kecuali dirinya sendiri. Manusia lain mendapat kebaikan darinya, tetapi dirinya sendiri hancur binasa. Lilin tidak sedar ketika sibuk menghasilkan cahaya, dirinya sendiri menuju gelita, fana’ dan binasa.

JADILAH LAMPU PELITA YANG MENYINAR

Justeru Baginda Sallallaahu ‘alayhi wa sallam berpesan dengan pesanan yang menampakkan ketelitian pada bicara dan makna, lantas bersabda:
“Perumpamaan seorang yang berilmu yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai, dan melupakan (kepentingan-kepentingan) dirinya adalah seperti lampu pelita yang memberikan cahaya untuk manusia dan membakar dirinya” 

Harusnya pendakwah dan pendidik itu jadi pelita.

Gelaran Nabi Sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada mereka adalah si ALIM, bukan sekadar seorang manusia. ALIM itu sandarannya ilmu. Tahu ilmu mendidik orang, tahu ilmu mendidik diri. Perumpamaan yang baik itu ditujukan kepada seorang alim yang muallim. Seorang yang bukan sekadar tahu-tahu kemudian menyibukkan diri memberitahu, lalu mudah alpa ke atas diri sendiri. Sesungguhnya manusia seperti inilah yang sering menjadi lilin. Akan tetapi lampu pelita menyinarkan cahaya untuk orang lain, dengan apa yang ada pada dirinya. Dirinya diberikan hak seperti yang sepatutnya, agar boleh terus bekerja dan berusaha. Ilmunya, masanya, tenaganya, semua ini menghasilkan sinar. Yang dikorbankan adalah kepentingan-kepentingan diri yang merugikan, bukannya terkorban diri kerana sibuk memberi. Terbakar itu adalah pengorbanan diri dan bukannya mangsa korban diri, Merekalah manusia yang hidupnya dengan ilmu itu adalah untuk memberi, hidup bukan untuk diri sendiri.

PESANAN BUAT LILIN

Justeru bagi sekalian yang alpa menjadi lilin, janganlah dirimu terang sebatang hanya sepetang. Engkau harus berusaha menjadi lampu yang sentiasa mengisi diri dengan bahan bakar untuk terus bercahaya. Terbakarnya berterusan menghasilkan kebaikan, dan terus menerus berkorban, bukannya tamat kerana mangsa korban… korban sendiri yang alpa terhadap diri. Manusia yang tidak memiliki, adalah manusia yang alpa diri, tidaklah dia mampu hidup memberi. Banyakkan usaha mencari, sebanyak cita-citamu untuk memberi.

Sumber : ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Monday, May 9, 2011

Majlis Soft Launching dan Sidang Media Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2011


Pada 27 April 2011(Rabu) bertempat di Ruang Legar Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Aras 9, Kompleks D8, Jakim Putrajaya telah diadakan satu majlis Soft Launching dan Sidang Media sempena Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2011 yang akan diadakan pada 2-5 Jun 2011 bertempat di Perkarangan Masjid Negara dan Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.
 
Majlis yang dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu turut dihadiri oleh YB Senator Dato’ Dr. Mashitah Binti Ibrahim, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tuan Haji Othman Bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM dan Tuan Haji Razali Bin Sahabudin, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM.
 
Dalam Sidang Media itu, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B) berkata, karnival selama empat hari yang kali kedua diadakan itu akan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan sasaran 300,000 pengunjung. Karnival Inovasi Islam ini dianjurkan melalui perkongsian pintar (smart partnership) dengan kerjasama agensi kerajaan di peringkat  persekutuan dan negeri, khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), badan berkanun, institusi penganjian tinggi, serta pihak swasta.
 
Antara tujuan karnival ini diadakan adalah untuk menonjolkan idea-idea kreatif  dan berinovatif serta produk-produk inovasi Islam di samping memberi pengiktirafan kepada mana-mana pihak yang telah memberi sumbangan besar dalam bidang inovasi Islam di Malaysia.
 
Sebanyak 20 aktiviti utama dilaksanakan sepanjang karnival berlangsung. Ia terdiri daripada pelbagai program seperti Anugerah Inovasi Islam 2011, pameran produk inovasi, demonstrasi produk-produk inovasi dan robotik, seminar, bengkel dan diskusi serta ekspo. Sebanyak 160 buah boothterlibat dalam pameran dan ekspo sempena Karnival Inovasi Islam 2011 serta pelbagai acara program lainnya yang disiarkan secara langsung melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM1).
 
Turut hadir dalam majlis Soft Launching dan Sidang Media tersebut antaranya ialah Ketua-ketua Agensi di Bawah YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, wakil-wakil daripada MOSTI, KPT, YIM, KPM, Institut Islam Hadhari, Kementerian Kesihatan, Kementerian Penerangan, PDRM, Pengarah-Pengarah Bahagian JAKIM dan juga para media serta wartawan.
 
jakim image
 
jakim image
 
jakim image
 
jakim image
 
jakim image

Monday, April 25, 2011

Terima Kasih Dato' Wan Mohamad, Tahniah Tuan Haji Othman


 
jakim image
 
“Makan Sedulang, Tidur Sebantal,
Sekapal Sepelayaran, Sepadang Sepermainan,
Sekhemah Sepertiduran, Sekereta Seperjalanan,
Segelanggang Seperguna, Seperindah,
Sepermainan, Sampai Masa Berpisah Jua”….
 
21 April 2011, menjadi antara tarikh bersejarah buat seluruh warga Jakim yang menerima dua perkhabaran berita; iaitu berita yang menyedihkan dan menggembirakan.
 
Dalam satu Majlis Serah Terima Tugas Ketua Pengarah Jakim, ia menjadi tarikh terakhir bagi YBhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abddul Aziz; Ketua Pengarah Jakim dalam perkhidmatan awam.  Dalam masa yang sama, Jakim memanjatkan kesyukuran dengan perlantikan YBhg. Tuan Hj. Othman bin Mustapha selaku Ketua Pengarah Jakim yang baru berkuatkuasa bermula 24 April 2011 ini.
 
Majlis Serah Terima Tugas tersebut turut disaksikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom; Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri memuji dan menghargai perkhidmatan cemerlang yang telah disumbangkan oleh YBhg. Dato’ Wan Mohamad sehingga Jakim menjadi sebuah sebuah institutsi agama yang aktif dan dihormati. Dalam masa yang sama, YB Menteri telah mengumumkan YBhg. Dato’ Wan Mohamad dilantik sebagai Pengerusi bagi Institut Profesional Baitulmal dan Institut Kemahiran Baitulmal yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
 
Turut diumumkan  adalah perlantikan YBhg. Tuan Hj. Razali bin Shahbudin sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) yang baru, kenaikan pangkat Jusa C kepada Jusa B mengantikan tempat Tuan Hj. Othman, manakala Puan Hajah Ramlah binti Yong dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan Insan sekaligus lantikan kepada Jusa C menggantikan tempat YBhg. Tuan Hj. Razali.
 
Sementara itu, YBhg. Tuan Hj. Mohamad Nordin bin Ibrahim akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) yang baru, bakal menggantikan tempat YBhg. Tuan Hj. Halid bin Sintol yang dijadualkan bersara pada 24 Mei 2011. Manakala tempat sebagai Pengarah Bahagian Kemajuan Islam akan diisi oleh Tuan Hj. Zainal Abidin bin Jaafar yang juga lantikan kepada Jusa C.
 
Pada hari yang sama, Puspanita Jakim turut meraikan hari terakhir bersama YBhg. Datin Hajah Sa’adiah binti Ahmad Rashdi  selaku Pengerusi pada sebelah petangnya di Bilik Mesyuarat Bahagian Dakwah Jakim. Majlis tersebut diadakan turut bertujuan untuk berkenalan dengan bakal Pengerusi Puspanita baru yang merupakan isteri kepada YBhg. Tuan Hj. Othman bin Mustapha iaitu Puan Hajah Rohani binti Mohamad.
 
Warga Jakim sekali lagi sebak sewaktu berkumpul di lobi Aras 1, Jakim pada jam 4.00 petang hari yang sama. Majlis Mengetik Kad Perakam Waktu terakhir Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abddul Aziz yang disaksikan bersama oleh ratusan warga jakim untuk bersalaman, bermaafan serta memberikan lambaian terakhir kepada YBhg. Dato’.
 
Sesungguhnya jasa dan bakti yang telah Dato’ Hj. Wan Mohamad curahkan selama ini kepada Jakim demi agama dan Negara khususnya amat besar dan tinggi nilainya dan akan terus sentiasa dikenang. Warga Jakim juga turut mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada YBhg. Tuan Hj. Othman bin Mustapha yang secara rasminya akan menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah JAKIM yang baru berkuatkuasa 24 April 2011 ini.

Tuesday, April 19, 2011

Majlis Pelancaran Imam Muda Astro Musim Kedua

18 April 2011 (Ahad) – Peserta Singapura dan Negara Brunei Darussalam antara yang tersenarai sebagai 10 calon Imam Muda 2, yang diumumkan melalui siaran langsung Astro Oasis dari Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), malam tadi.

Majlis memperkenalkan peserta musim kedua ini dirasmikan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dengan diiringi oleh YBhg. Tuan Haji Izelan Bin Basar, Pengurus Saluran Astro Oasis, YBhg. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali, Pengarah JAWI dan YBhg. Encik Khairul Anwar Bin Salleh, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro.

Antara peserta Imam Muda musim 2, Ali Khairudin Abdul Marif, 26 (Sabah), Mujahid Suhaimi, 20 (Singapura), Mohd Hassan Adli Yahaya, 26 (Perak), Nazrul Izwan Zolkiflee, 26 (Johor), Wan Najdi Wan Mohd Noh, 20 (Selangor), Mohd Fakhrurrazi Hussin, 27 (Terengganu), Zulfadli Awang, 24 (Brunei), Ammar Wan Harun, 27 (Kedah), Mohd Azlan Zulkarnain, 25 (Kuala Lumpur) dan Abdul Fattah Riddzwan, 21 (Negeri Sembilan).

Ustaz Hasan Mahmood Al-Hafiz, Bekas Imam Masjid Negara, sekali lagi dipilih sebagai Mudir (Pengetua) yang akan membimbing calon Imam Muda dan dibantu Mursyid (Mentor) Ikmal Zaidi Bin Hashim, Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim, Tuan Asmawi Bin Tuan Umar dan Zulkefli Bin Hamat.

Hadir sama, YB. Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama suami, YBhg. Dato’ Abdul Shakur Bin Abu Bakar, YBhg. Datin Seri Hajjah Fatmawati Binti Haji Saidin, isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YBhg. Datin Hajjah Rakiah Mariana Binti Latiff, Isteri Pengarah JAWI.

    
    
    

Friday, April 15, 2011

Dia Bukan Cinta Nombor 1

Bayangkan setiap 15 minit berlaku perceraian ... Begitulah rapuhnya rumah tangga umat Islam di Malaysia. Rumah tangga adalah benteng terakhir ummah, tempat bermulanya tapak generasi. Jika di situ sudah bermasaalah,  di tempat lain tidak dapat dibayangkan lagi.  Ada sahaja kisah suami yang curang, isteri yang beralih cinta. Kekadang anak telah dua, tiga dan empat... tetapi masih ingin memburu cinta. Ada yang memburu di alam nyata (menjejak semula kekasih lama atau terjumpa kekasih baru), ada yang memburu cinta di alam siber – bencinta lewat laman sosial internet yang serba maya.
Entah apa yang diburu oleh manusia ini... yang hidup di dunia tanpa menyedari hari kembalinya yang pasti ke akhirat. Di mana diletakkan Allah dalam peta cintanya sesama manusia. Suami yang ada dipersia, lelaki lain pula dicari sebagai ganti. Konon suaminya tidak bertanggung jawab, tidak romantik, tidak pandai membelai atau apa sahaja. Berikan nama yang buruk pada anjing dan bunuh saja! Begitu kata pepatah Inggeris. Apabila hati sudah berubah, segala kebaikan dahulu dilupakan. Ada pula, isteri yang di sisi sudah setia, perempuan baru pula diburu kononnya demi cinta sejati. Segala yang buruk-buruk dibongkar, dijadikan justifikasi untuk menghalalkan cinta baru yang digilai siang dan malam.
Manusia-manusia itu seperti kelkatu yang terbang menuju sumber cahaya. Sudah ramai yang terhantuk lalu jatuh bergelimpangan di lantai... namun kelkatu yang lain masih terus terbang menuju tempat yang sama. Tidak pernah ada yang mengambil iktibar daripada korban-korban yang telah bergelimpangan. Maka begitulah suami atau isteri yang tertipu ini, memburu cinta bagaikan kelkatu memburu cahaya...
Percayalah, tujuanmu tidak akan tercapai, bahkan akan terjadi kebinasaan. Namun dia degil, dia pergi jua. Percayalah, tidak akan ada ketenangan dan kebahagiaan di atas kesusahan, kezaliman dan penindasan terhadap orang lain (apatah lagi yang dizalimi itu isteri atau suami atau anak-anak mu sendiri). Allah benci orang zalim! Dan kebencian itu sudah cukup untuk menyebabkan penderitaan seumur hidup.
Mengapa kau zalimi anak mu, isteri atau suami mu? Apakah dosa mereka terlalu besar hingga kau tidak sudi lagi memaafkan? Apakah kau tidak menyedari bahawa pasangan mu adalah cermin kepada diri mu sendiri? Maksudnya, siapa pasangan kita ditentukan juga oleh siapa kita  yang sebenarnya? Dirimu dan pasanganmu saling mencorakkan. Ketika palitan hitam kau katakan ada pada wajahnya, sedarkah engkau bahawa kau juga yang pernah melakarkannya? Jadi, bertanggung jawablah. Jangan lari. Binalah semula rumah tangga mu... kerana cinta yang ada di tanganmu kini adalah nyata, manakala yang kau buru itu mungkin hanya fotomorgana.
Bagi suami atau isteri yang ditinggalkan... sedarkan dia. Doakan dia. Berusahalah sedaya mungkin untuk 'mengembalikan' dia kepada cinta yang nyata. Namun kalau dia berdegil, biarlah dia pergi. Hidupmu terlalu singkat untuk 'dirosakkan' oleh dia seorang. Ingat dia itu bukan cinta nombor 1!
Nombor 1 Allah. Nombor 2 Rasulullah. Nombor 3, suami). Itulah turutan cinta seorang wanita bernama isteri, (jika  pada lelaki, nombor 3 itu ibu, no 4 itu apa, no 5 baru isteri). Agar tidak menderita, jagalah turutan cinta ini. Yang dahulu, wajar didahulukan. Yang kemudian, mesti dikemudiankan. Jangan disusun cinta itu begini... Nombor 1 suami. Nombor 2 suami. Nombor 3 pun suami. Ini tindakan yang bakal mengundang kecewa.
Jangan pinggirkan Allah kerana Dia yang mengurniakan rasa cinta. Jangan dilupakan Rasulullah kerana dia yang memberi panduan untuk bercinta. Ingat pesan Rasulullah melalui sabda Baginda dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud:
"Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya."
"Jika" hanya "jika". "Jika" akan kekal sebagai "jika". Ia tidak pernah berlaku. Seorang wanita tidak boleh menyembah manusia lain sekalipun suaminya sendiri. Sebaiknya, cintailah suami dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah kerana Allah. Itulah resepi untuk bahagia dalam bercinta!
Betapa ramai isteri yang kecewa akibat ditinggalkan suami yang dicintai. Sama ada dipisahkan oleh mati atau oleh sikap suami yang tidak mencintainya lagi. Bayangkan apabila segala-galanya untuk dan kerana suami, apabila suami tidak ada lagi, putus harapan dan berserabutlah fikiran. Ramai yang sudah menerima nasib begini... Bayangkan setiap 15 minit, berlaku satu perceraian. Siapakah yang menempuh gerbang perkahwinan dengan harapan untuk bercerai? Tidak mungkin ada!
Mukadimah Penentu Natijah
Perkahwinan dibina dengan harapan. Untuk mencapai harapan, tidak cukup dengan rasa cinta. Ia perlukan tanggungjawab. Kata bijak pandai, sesuatu akan berakhir mengikut bagaimana ia bermula. Mukadimah banyak menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya di syurga), mesti diperkukuh dari pangkalnya. Perkahwinan dimulakan dengan percintaan, tetapi disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab itu ahli bijaksana mendefinisikan cinta sebagai "rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang".
Janganlah hendaknya cinta dan rumah tangga dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Itulah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan untuk haiwan (demikian kata al-Farabi). Juga bukan untuk mengejar status sosial. Jika rumah tangga hanya dibina untuk makan minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks), kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego), apa bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Itu cinta kelas kedua.
Jika itulah bentuk cinta kita, itu hanya cinta alat bukan matlamat. Cinta kelas kedua mesti dibawa kepada cinta kelas pertama. Pandang wajah suami kita, bolehkah dia membawa kita kepada cinta Allah? Renung mata isteri kita, apakah dia teman kita menuju Allah? Jika ya, alhamdulillah, syukur. Kita sudah berada di jalan yang betul. Maka melangkahlah dengan yakin walau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan.
Jika belum, berusahalah, berdoalah... agar dia mampu juga. Jika tidak hari ini, esok. Jika tidak esok, lusa. Teruskan berusaha dan berdoa.

Taklimat Penubuhan Universiti Islam Malaysia (Kolej Islam Malaya)


 
Pada 8 April 2011 telah diadakan perjumpaan antara YBhg.  Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor; Pengerusi LEPAI dengan YB Dato’ Seri Muhamad Khaled Nordin; Menteri Pengajian Tinggi di Pejabat YB Menteri  Kementerian Pengajian Tinggi di Kompleks E, Putrajaya.
 
Perjumpaan tersebut diadakan bagi memaklumkan usaha LEPAI untuk mengaktifkan semula KIM dan membincangkan perkara berkaitan tentang penubuhan Universiti Islam Malaysia. Perjumpaan tersebut diadakan rentetan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 pada 13 – 14 Oktober 2010 di Istana Negara bagi mengaktifkan semula Kolej Islam Malaya dengan nama Universiti Islam Malaysia.
 
jakim image
YBhg. Tan Sri Pengerusi LEPAI sedang menyampaikan Taklimat kepada YB Menteri Pengajian Tinggi.
 
jakim image
Pengarah Bahagian Kemajuan Islam turut hadir dalam perjumpaan tersebut.

Thursday, April 7, 2011

"Japan Releif Fund Hand Over Ceremony From Federal Territory Mosques To The Embassy Of Japan"

6 April 2011- Satu majlis penyerahan sumbangan yang dinamakan "Japan Releif Fund Hand Over Ceremony From Federal Territory Mosques To The Embassy Of Japan"  telah diadakan di Hotel Putra Kuala Lumpur bagi menyerahkan jumlah kutipan derma hasil sumbangan masyarakat di masjid-masjid utama dan masjid sekitar Wilayah Persekutuan kepada  mangsa Tsunami di Jepun. Ia merupakan inisiatif yang telah di ambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  sebagai satu sumbangan masyarakat Malaysia kepada mangsa musibah tsunami di Jepun baru-baru ini atas rasa simpati dan semangat kemanusian.
 
            Hasil kutipan derma yang telah di laksanakan oleh Jakim melalui empat buah masjid utama dan seluruh masjid di sekitar wilayah persekutuan adalah berjumlah  sebanyak RM 117,360.25. Penyerahan derma itu diberikan kepada tetamu hormat yang hadir iaitu wakil daripada Negara Jepun yang mewakili Duta Jepun di Malaysia yang tidak dapat hadir iaitu Mr.koichi Ito ; menteri dan timbalan pengerusi misi dan En.Yamakawa setiausaha 1 oleh YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom; menteri di Jabatan Menteri. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Dato’ Wan Mohamad bin Dato' Sheikh Abdul Aziz; Ketua Pengarah Jakim.
 
            Hasil kutipan derma tersebut telah dilaksanakan oleh masjid-masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra, Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Wilayah Persekutuan serta masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan. Kutipan derma tersebut telah dilaksanakan pada 25 Mac 2011 yang lalu iaitu sewaktu solat jumaat pada minggu lalu.
 
jakim image
 
jakim image
 
jakim image
 
jakim image

Wednesday, April 6, 2011

Isu Seruan Mengamalkan Vegetarian Oleh The Supreme Ching Hai International Association

Baru-baru ini telah tersebar risalah yang merupakan salinan terjemahan berkaitan Seruan Mengamalkan Vegetarian Oleh The Supreme Ching Hai International Association.
 
Risalah ini memuatkan beberapa saranan dan seruan Master Ching Hai yang merupakan Mahaguru pertubuhan ini ke arah gaya hidup yang lebih sempurna dalam usaha menyelamatkan dunia melalui pengamalan Vegetarian yang diamalkan oleh sesetengah agama. Seruan ke arah Vegetarian ini merupakan satu seruan yang telah dihantar ke seluruh dunia oleh The Supreme Master Ching Hai International Association di samping menyeru seluruh agama bersatu membasmi isu alkohol dan penyalahgunaan dadah.
 
Master Ching Hai berpandangan bahawa amalan Vegetarian dapat mengatasi dan membasmi masalah-masalah yang melanda dunia pada hari ini. Beliau telah memetik hujah-hujah berpandukan kitab suci agama-agama di dunia ini seperti hadith, petikan ajaran Buddha Tibet, falsafah Taoisme, ajaran Bahai, falsafah Cao Dai, Essene, Jainisme, Sikh, Zoroaster, Old Testament Yahudi dan lain-lainnya. 
Pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh beliau dengan berasaskan dalil dan hujah berasaskan petikan hadith adalah menyimpang dari kebenaran kerana hadith yang dinyatakan tersebut mengandungi keraguan dari segi matan, maksud serta huraiannya yang tiada kena mengena dengan seruan Vegetarian sama sekali.
 
Bagi menjawab isu seruan Vegetarian ini, Presiden Islamic Relief Foundation (IRF) yang berpusat di Mumbai, India menyatakan di dalam bukunya 20 Most Common Questions About Islam berkata :
If every human being was a vegetarian, it would lead to overpopulation of cattle in the world, since their reproduction and multiplication is very swift. Allah swt in His Divine Wisdom knows how to maintain the balance of His creation appropriately. No wonder He has permitted us to have the meat of the cattle.
 
Pemerhatian awal terhadap isu  ini, dapat disimpulkan bahawa hujah-hujah yang digunakan oleh Master Ching Hai dalam menyeru kepada amalan Vegetarian adalah tidak berasas apatah lagi huraian kefahamannya adalah jauh tersasar dari disiplin syarahan nas-nas agama.
Sebaliknya Al-Quran telah menghalalkan daging haiwan tertentu sebagai rezeki yang dikurniakanNya kepada manusia sebagaimana firman Allah menerusi surah Al-Maidah ayat 1 yang bermaksud :
 
“Wahai orang-orang beriman. Tunaikanlah janji. Dihalalkan kepadamu (memakan) binatang-binatang ternakan kecuali yang akan disebutkan (pengharamannya) kepadamu. (Halalnya binatang ternakan tersebut bukanlah bermaksud) dibolehkan kamu berburu ketika kamu di dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendakki.”
 
Firman Allah di dalam Surah An-Nahl ayat 5 :
“Dan binatang ternakan itu diciptakan olehNya untuk (diambil manfaat) sebagai pemanas tubuh (sebagai pakaian) dan untuk kamu makan.”