Bayangkan setiap 15 minit berlaku perceraian ... Begitulah rapuhnya  rumah tangga umat Islam di Malaysia. Rumah tangga adalah benteng  terakhir ummah, tempat bermulanya tapak generasi. Jika di situ sudah  bermasaalah,  di tempat lain tidak dapat dibayangkan lagi.  Ada sahaja  kisah suami yang curang, isteri yang beralih cinta. Kekadang anak telah  dua, tiga dan empat... tetapi masih ingin memburu cinta. Ada yang  memburu di alam nyata (menjejak semula kekasih lama atau terjumpa  kekasih baru), ada yang memburu cinta di alam siber – bencinta lewat  laman sosial internet yang serba maya.
    
Entah apa yang diburu oleh manusia ini... yang hidup di dunia tanpa  menyedari hari kembalinya yang pasti ke akhirat. Di mana diletakkan  Allah dalam peta cintanya sesama manusia. Suami yang ada dipersia,  lelaki lain pula dicari sebagai ganti. Konon suaminya tidak bertanggung  jawab, tidak romantik, tidak pandai membelai atau apa sahaja. Berikan  nama yang buruk pada anjing dan bunuh saja! Begitu kata pepatah  Inggeris. Apabila hati sudah berubah, segala kebaikan dahulu dilupakan.  Ada pula, isteri yang di sisi sudah setia, perempuan baru pula diburu  kononnya demi cinta sejati. Segala yang buruk-buruk dibongkar, dijadikan  justifikasi untuk menghalalkan cinta baru yang digilai siang dan malam.
 
Manusia-manusia itu seperti kelkatu yang terbang menuju sumber  cahaya. Sudah ramai yang terhantuk lalu jatuh bergelimpangan di  lantai... namun kelkatu yang lain masih terus terbang menuju tempat yang  sama. Tidak pernah ada yang mengambil iktibar daripada korban-korban  yang telah bergelimpangan. Maka begitulah suami atau isteri yang tertipu  ini, memburu cinta bagaikan kelkatu memburu cahaya...
 
Percayalah, tujuanmu tidak akan tercapai, bahkan akan terjadi  kebinasaan. Namun dia degil, dia pergi jua. Percayalah, tidak akan ada  ketenangan dan kebahagiaan di atas kesusahan, kezaliman dan penindasan  terhadap orang lain (apatah lagi yang dizalimi itu isteri atau suami  atau anak-anak mu sendiri). Allah benci orang zalim! Dan kebencian itu  sudah cukup untuk menyebabkan penderitaan seumur hidup.
 
Mengapa kau zalimi anak mu, isteri atau suami mu? Apakah dosa mereka  terlalu besar hingga kau tidak sudi lagi memaafkan? Apakah kau tidak  menyedari bahawa pasangan mu adalah cermin kepada diri mu sendiri?  Maksudnya, siapa pasangan kita ditentukan juga oleh siapa kita  yang  sebenarnya? Dirimu dan pasanganmu saling mencorakkan. Ketika palitan  hitam kau katakan ada pada wajahnya, sedarkah engkau bahawa kau juga  yang pernah melakarkannya? Jadi, bertanggung jawablah. Jangan lari.  Binalah semula rumah tangga mu... kerana cinta yang ada di tanganmu kini  adalah nyata, manakala yang kau buru itu mungkin hanya fotomorgana.
 
Bagi suami atau isteri yang ditinggalkan... sedarkan dia. Doakan dia.  Berusahalah sedaya mungkin untuk 'mengembalikan' dia kepada cinta yang  nyata. Namun kalau dia berdegil, biarlah dia pergi. Hidupmu terlalu  singkat untuk 'dirosakkan' oleh dia seorang. Ingat dia itu bukan cinta  nombor 1!
 
Nombor 1 Allah. Nombor 2 Rasulullah. Nombor 3, suami). Itulah turutan  cinta seorang wanita bernama isteri, (jika  pada lelaki, nombor 3 itu  ibu, no 4 itu apa, no 5 baru isteri). Agar tidak menderita, jagalah  turutan cinta ini. Yang dahulu, wajar didahulukan. Yang kemudian, mesti  dikemudiankan. Jangan disusun cinta itu begini... Nombor 1 suami. Nombor  2 suami. Nombor 3 pun suami. Ini tindakan yang bakal mengundang kecewa.
 
Jangan pinggirkan Allah kerana Dia yang mengurniakan rasa cinta.  Jangan dilupakan Rasulullah kerana dia yang memberi panduan untuk  bercinta. Ingat pesan Rasulullah melalui sabda Baginda dalam hadis  riwayat al-Tirmizi yang bermaksud:
 
"Jika aku hendak menyuruh  seseorang supaya sujud kepada seseorang, tentulah aku perintahkan isteri  supaya sujud kepada suaminya."
 
"Jika" hanya "jika". "Jika" akan kekal sebagai "jika".  Ia tidak pernah berlaku. Seorang wanita tidak boleh menyembah manusia  lain sekalipun suaminya sendiri. Sebaiknya, cintailah suami dengan cara  yang ditunjukkan oleh Rasulullah kerana Allah. Itulah resepi untuk  bahagia dalam bercinta!
 
Betapa ramai isteri yang kecewa akibat ditinggalkan suami yang  dicintai. Sama ada dipisahkan oleh mati atau oleh sikap suami yang tidak  mencintainya lagi. Bayangkan apabila segala-galanya untuk dan kerana  suami, apabila suami tidak ada lagi, putus harapan dan berserabutlah  fikiran. Ramai yang sudah menerima nasib begini... Bayangkan setiap 15  minit, berlaku satu perceraian. Siapakah yang menempuh gerbang  perkahwinan dengan harapan untuk bercerai? Tidak mungkin ada!
 
Mukadimah Penentu Natijah
 
Perkahwinan dibina dengan harapan. Untuk mencapai harapan, tidak  cukup dengan rasa cinta. Ia perlukan tanggungjawab. Kata bijak pandai,  sesuatu akan berakhir mengikut bagaimana ia bermula. Mukadimah banyak  menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya  di syurga), mesti diperkukuh dari pangkalnya. Perkahwinan dimulakan  dengan percintaan, tetapi disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan  sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab  itu ahli bijaksana mendefinisikan cinta sebagai "rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang".
 
Janganlah hendaknya cinta dan rumah tangga dibina hanya sekadar untuk  memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Itulah cinta yang diilhamkan  oleh Tuhan untuk haiwan (demikian kata al-Farabi). Juga bukan untuk  mengejar status sosial. Jika rumah tangga hanya dibina untuk makan  minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks),  kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego), apa bezanya cinta  kita dengan cinta haiwan. Itu cinta kelas kedua.
 
Jika itulah bentuk cinta kita, itu hanya cinta alat bukan matlamat.  Cinta kelas kedua mesti dibawa kepada cinta kelas pertama. Pandang wajah  suami kita, bolehkah dia membawa kita kepada cinta Allah? Renung mata  isteri kita, apakah dia teman kita menuju Allah? Jika ya, alhamdulillah,  syukur. Kita sudah berada di jalan yang betul. Maka melangkahlah dengan  yakin walau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan.
 
Jika belum, berusahalah, berdoalah... agar dia mampu juga. Jika tidak  hari ini, esok. Jika tidak esok, lusa. Teruskan berusaha dan berdoa.