Wednesday, March 28, 2012

Tahniah

Pencapai Kecemerlangan SPM:
Awasi Dunia Barumu
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Tahniah kepada adik Nik Nur Madihah atas kejayaannya menempa sejarah pendidikan negara dengan pencapaian 20 A. 19 1A, dan 1 2A. Bagi individu berlatarbelakangkan agama seperti saya, kejayaan ini lebih manis apabila datang dari seorang muslimah yang sempurna penutupan aurat dan bersekolah agama. Lebih manis lagi apabila ia lahir dari sebuah keluarga yang tidak berada dari sudut kebendaan, tidak pula dilimpahi kemudahan-kemudahan tambahan seperti tuisyen dan lainnya.
Inilah yang dinamakan dakwah bil hal, iaitu satu bentuk teladan dan ajakan kepada kebaikan melalui pencapaian dan teladan hasil kejayaan dan perlakuan diri, bukan melalui percakapan atau tulisan. Benar, hampir seluruh Malaysia menumpu kepada beliau, dan tabiat manusia khususnya orang Malaysia adalah ingin mengetahui ‘rahsia' kejayaannya. Lebih biasa kita dengar adalah cuba mendapatkan jalan pendek kepada kejayaan yang sama. Kasihan juga memikirkan minda sebahagian muslim yang inginkan kejayaan tetapi melalui rahsia tertentu, ayat Al-Quran tertentu, doa khusus dengan ‘power' tertentu dan lainnya, dengan harapan semua itu akan memberi satu kuasa luar biasa walaupun tanpa susah payah usaha, mereka cuba mengelak dari jalan sukar dan panjang. Ia adalah satu minda yang songsang kerana semua kejayaan melalui jalan pendek adalah tiada kukuh asasnya atau HAMPIR SEMUANYA diperolehi dengan jalan korup dan salah.
Apa yang lebih menarik pihak media massa dalam kisah adik Nik Madihah, bukan sekadar kejayaannya tetapi juga ketabahannya mengharungi pembelajaran dalam suasana serba kekurangan harta benda yang kerap dijadikan ukuran kebolehjayaan seseorang. Jelas, limpahan kebendaan bukanlah satu kewajiban untuk mencatat kejayaan cemerlang.
madihah1.jpg

IBADAH DAN KEJAYAAN
Kenyataan Nik Nur Madihah yang berterus terang berkenaan kebiasaannya berpuasa Isnin Khamis turut memberikan impak positif kepada ibadah puasa yang adakalanya dilihat serong oleh manusia bertuhan aqal (mereka adalah kumpulan sekular), yang sering mendakwa puasa boleh membantutkan prestasi pelajaran dan kerja kerana keletihan dan tidak bermaya.
Tudung labuhnya tidak menutup mindanya dari cerdas sebagaimana anggapan dan tuduhan sebahagian wanita moden yang amat membenci pakaian Islam ini. Bibirnya tidak perlukan warnaan merah lipstick, matanya tidak perlukan eyeshadow warna abdomen langau yang kehijauan dan pipinya tidak perlukan blusher merah agar dilihat bijak. Semuanya natural. Beliau juga tidak perlukan skirt pendek bagi menampaknya kecekapan mindanya.
Mujurlah adik Nik tidak memaklumkan berkenaan ibadah solat malam dan tahajjudnya. Jika tidak tentunya bekas pemimpin dan pemimpin yang pernah ‘membantai' solat malam dengan hujjah ia memundurkan prestasi pelajar akan seolah-olah ditampar kiri kanan serta terkena jurus ‘flying kick' di perut.


madihah2.jpg


CABARAN MENGEKAL KEJAYAAN

Erti kejayaan amat luas dan subjektif, sebagai umat Islam kita wajib melihatnya dari perspektif keagamaan terlebih dahulu sebelum tenggelam dengan takrifan dan definisi kejayaan dari kacamata kebendaan. Namun saya tidak ingin memanjangkan takrif dan erti tersebut di dalam artikel ini.
Apapun saya ingin merakamkan tahniah kepada adik Nik Nur Madihah dan para pelajar lain yang berjaya menempa kecemerlangan dalam peperiksaan SPM mereka.
Namun beringat-ingatlah, pengalaman saya mengambil SPM di awal tahun 1990 an, dan melihat kejayaan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan SPM memperlihatkan satu gambaran dan analisa yang berbeza-beza.
Tidak sedikit pelajar yang menyapu bersih 1A dalam semua atau majoriti matapelajaran tetapi tewas dan jatuh terjelepok semasa kehidupan di universiti. Puncanya sangat pelbagai namun asasnya adalah akibat lemah jatidiri hingga ‘cair' dengan alam universiti yang lebih bebas berbanding sekolah. Satu alam yang menguji proses kebijaksanaan seseorang dalam menentukan hala tuju kehidupan dan ujian membuat banyak keputusan. Ramai juga yang gagal, lalu kejayaan SPM mereka hanya tinggal sebagai satu kenangan manis. Selepas keluar dari univeristi mereka bukan lagi individu teladan dan kebanggaan agama dan negara, mereka hanya orang biasa, malah mungkin duduk pun sebaris dengan individu yang gagal di dalam SPM mereka.
Tanpa mengira lokasi universiti, sama ada di dalam atau luar negeri, pokok pangkal kelangsungan kejayaan adalah terletak pada hati dan diri sendiri. Ramai yang berbangga apabila dapat melanjutkan pelajaran ijazah pertama ke luar negara, namun pulangnya tidak seperti manusia. Rambut kusut masai lagak penyanyi rock, pakaiannya berkiblatkan barat, hati dan minda menggengam erat ideologi barat, percampuran bebas dianggap bertamadun, duduk serumah lelaki dan perempuan bujang dianggap 'bagus' serta jimat. Bukan semua berambut panjang salah, memang benar ia terletak kepada niat dan pelbagai faktor lain (antaranya jimat budjet) namun point yang ingin saya tegaskan di sini adalah terdapat ramai yang penampilan luarannya sengaja diniat menyamai barat hasil kekagumannya kepada negara itu.
Lebih malang, dara dan terunanya sudah lama mengucapkan selamat tinggal. Akibat kelemasan dengan cara hidup masyarakat Barat, dirasakan cara hidup ini sebagai mulia dan terkehadapan. Kasihan melihat pelajar-pelajar cemerlang SPM seperti ini, mereka dibiayai oleh kerajaan Malaysia hasil wang masyarakat Malaysia atas kejayaan aqal mereka, namun rupanya aqal mereka HANYA BIJAK MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN, tetapi tidak bijak menangani persoalan kehidupan realiti, tidak bijak membuat keputusan mungkin kerana tiadanya ‘silibus khusus yang dibocorkan oleh guru'. Kegagalan ini adalah hasil dari hati yang gersang dan kering dari panduan Ilahi.

MINDA ROBOT AKAN KARAT

Itu jika dilihat dari aspek kegamaan, namun bukan sekadar itu sahaja. Pengalaman saya mengendalikan banyak interview, demikian juga hasil maklumat dari rakan-rakan di industri kewangan di Malaysia, juga adik beradik saya yang kini banyak mengendalikan temuduga kerja di syarikat masing-masing. Dapat saya kumpulan kesimpulan bahawa, keputusan 3.5 hingga 4.0  CGPA di univeristi juga tidak menjamin kemampuan dan bakat graduan.
Saya telah pernah menuliskan sekelumit panduan semasa temuduga , satu proses ujian yang kerap mendedahkan kekeringan bakat dan minda calon, walaupun dahulunya ia seorang cemerlang SPM, juga top scorer di Universiti.
Bukanlah niat saya menghilangkan motivasi pelajar untuk mencapai keputusan mantap lagi cemerlang. Ia satu kewajiban dan tuntutan, tetapi aspek kecerlangannya perlu diluaskan lagi. Menjadi seorang mat atau minah buku di universiti adalah teknik mudah untuk menjadi graduan berminda robot, cepat pula tarikh expirednya. Bijak-bijaklah mengatur urus pengajian di universiti, jangan menjadi ulat buku berminda robot yang amat mudah outdated dari dunia realiti, akhirnya menjadi computer buruk berharga murah.
Bagi menjadi minda manusia cemerlang, pelajar cemerlang wajib membuka minda dan terlibat dalam banyak masalah sama ada persatuan, dakwah dan aktviti di universiti. Semakin banyak dan pelbagai masalah yang menyerang semasa di universiti lalu dia mampu melepasinya, KIAN TINGGILAH antibodi diri.
Peratusan untuk menjadi seorang yang kebal, berpasak kukuh, berminda komputer yang sentiasa updated dan menjadi idaman setiap institusi dan syarikat akan semakin CERAH. Lebih dari itu, andalah cahaya baru buat kebangkitan agama dan pengemudian hala tuju masyarakat. Saya bukan bercakap kosong, tetapi hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman. Sebenarnya telah ramai yang berjaya dan ramai juga yang saya kenali. Jalan mereka hampir serupa cuma belum dan tidak dibukukan untuk tatapan ramai.
Nasihat saya buat Nik Nur Madihah dan pelajar-pelajar lain yang mencatat kejayaan SPM, sama ada anda memilih UK, Jordan, Mesir, Malaysia atau di mana negara pun, jalan kejayaan masih jauh. Hempasan ombak cabaran dalam membuat keputusan masih belum melanda. Bersedialah, dan gariskan awal-awal hala tuju kejayaan diri. Beristisyarlah (bertanya dan bermesyuarat) dengan individu yang mempunyai hikmah dan pengalaman, sesungguhnya kejayaan melalui pengalaman itu suatu realiti, sedangkan kejayaan peperiksaan bertulis hanya teori.
Akhirnya, khas buat Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, selamat datang ke dunia barumu. Awasilah ia dengan minda dan hati yang sedar. Segala jenis syaitan sedang menunggumu di kiri kanan, depan dan belakang. Kenalilah segera mana syaitan dan mana Malaikat. Semuanya sudah tercatat di dalam Al-Kitab dan Khazanah Nabi dan sahabat.
Sesiapa yang tinggal berhampiran dengan rumahnya, amat saya hargai jika dapat diprint artikel ini dan disampaikan kepada beliau.
Salam ikhlas perjuangan dari saya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
20 Mac 2009
23 Rabi'ulawwal 1430

Sunday, March 25, 2012

Ujian itu keuntungan

Mengharapkan keredhaan Allah bukanlah suatu yang mudah buat mana-mana manusia yang benar-benar menuntut kasih dan sayang dari sang pencipta. Keredhaan Allah itu adalah hak untuk setiap manusia mendapatkannya, namun ia hanya benar-benar layak untuk hamba-hamba yang runtun hati dan jiwanya hanya untuk diserahkan kepada Allah.
Setiap manusia mahu mendapatkan yang terbaik untuk hidup mereka. Ramai yang sedar bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara sebelum manusia dihidupkan semula di akhirat kelak. Namun buat insan yang benar-benar menuntut keredhaan Allah jalan perjuangannya tidak akan dihiasai dengan perkara yang indah, sebaliknya Allah akan mengujinya dengan pelbagai ujian dan dugaan yang bakal menguji keikhlasannya dalam perjuangan.

Apakah perjuangan yang dimaksudkan?

Perjuangan itu begitu luas konsep dan maknanya, apatah lagi perjuangan adalah matlamat yang tersemat di hati para syuhada yang inginkan syahid dalam setiap pekara yang dilakukan. Meskipun begitu, menuntut ilmu juga ialah perjuangan yang perlu dipikul oleh setiap manusia yang bergelar pelajar. Tidak kiralah seseorang itu adalah pelajar sekolah rendah ,menengah atau sudah begelar mahasiswa sekalipun. Semua itu adalah termasuk dalam golongan orang yang sedang berjuang mencari martabat ilmu dan pastinya ia mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah.


Tewas sebelum berjuang?
Di alam mahasiswa khususnya , tidak ramai yang benar-benar mencapai kejayaan yang sebenar. Setiap pejuang yang begelar mahasiswa akan diuji sepenuhnya dalam liku-liku perjalanannya sepanjang menuntut ilmu. Ujian yang datang dari Allah itu akan hadir dalam belbagai-bagai bentuk ujian antaranya ialah diuji dengan kesempitan wang di universiti, diuji dengan bebanan tugasan yang banyak, diuji dengan hati yang lalai kepada cinta ,ada juga yang diuji dengan kesakitan, kematian insan tersayang dan pelbagai lagi bentuk ujian yang diturunkan Allah kepada hamba-hambaNya.
Setiap insan yang diuji oleh Allah dengan ujian-ujian tadi selalunya akan merungut, berputus asa malah ada yang mengambil jalan mudah dan singkat bagi menghadapi setiap ujian tadi dengan perkara yang dilarang syarak. Kekurangan wang misalnnya membuatkan seorang mahasiswa yang tidak berfikir panjang medapatkan wang dengan cara yang mudah dan singkat seperti menipu , melabur wang ke dalam pelaburan yang haram dan ada juga yang mengambil jalan pintas dengan sanggup mengorbankan diri menjadi pemuas nafsu kepada manusia-manusia yang kering kontang iman dan ketaqwaannya. Contoh manusia seperti inilah yang dikatakan tewas sebelum berjuang biarpun di atas pentas konvokesyen nanti gred yang diperolehi mendapat anugerah dari pihak universiti. Semua itu bukan lagi bermakna dan dianggap kejayaan kerana manusia seperti ini sudah pun tewas di pertengahan jalan perjuangannya.

Mengapa aku diuji?
" arghh, kenapalah tuhan tidak adil kepada aku"....kenapa aku diuji sebegini sedangkan manusia lain tidak..tension betul.."

Sememangnya buat jiwa dan hati yang tidak cekal dengan ujian yang diberikan akan terus menyalahkan fitrah dan norma kehidupan. Lebih parah ada yang menyalahkan Allah sebagai pembeban kepada hidup mereka. Manusia diuji kerana dirinya sudah mendapat perhatian di pandangan Allah, tetapi pandangan yang bagaimana? Pandangan itu ialah pandangan kasih dan sayang pencipta kepada hambanya. Beruntunglah manusia yang sering diuji kerana hidupnya mendapat perhatian dari Allah yang maha mengatahui mengapa ujian itu diberikan.
Bayangkan anda dihimpunkan bersama-sama seluruh penduduk dunia di padang masyar, dalam keramaian manusia tadi tiba-tiba nama anda dipanggil Allah untuk menjadi tetamu syurga. Beruntunglah si pemilik nama tadi yang untungnya tiada tandingan walaupun seberat bulan , matahari dan bumi. Begitulah juga dengan konsep ujian tadi, manusia yang diuji adalah manusia yang mendapat perhatian dari Allah. Dalam berbilion penduduk bumi tetapi hanya satu nama yang mendapat perhatian untuk diuji dengan ujian yang tertentu. Bukankah itu adalah satu keuntungan buat manusia yang diuji tadi? Dengan ujian tadi Allah akan mengangkat martabat hambanya jika dia ikhlas dalam menempuh bebanan yang diamanahkan kepadanya.Sebagai seorang hamba juga kita perlu ingat, ujian yang diterima oleh kita tidak akan sama dengan insan yang lain. Jika kita merasa diri sudah dipikul dengan ujian yang berat sebenarnya masih ramai yang diuji dengan ujian yang hebat dan berat.

Pimpinlah Daku
"Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka,dan merekalah orang-orang yang beruntung" Surah Al-Baqarah 2:5

Hayatilah ayat diatas tadi, sesungguhnya janji Allah adalah benar-benar belaka dan tiada dusta. Allah menjanjikan buat hamba-hambanya yang beramal soleh dengan keuntungan yang tiada nilainya di bumi ini.
Buatmu teman seperjuangan,andai sebelum ini hatimu sering mengeluh dengan ujian yang diturunkan kepadamu maka muhasabahlah segera niatmu dalam menuntut ilmu.
Apa yang kita cari sebenarnya semasa menutut ilmu? wanita, kedudukan,kekayaan atau sebaliknya? Apakah kita tidak merasa untung bila mendapat perhatian dari Allah? Apakah kita akan mudah menyerahkan segalanya sebelum kita benar-benar menamatkan perjuangan yang sebenar di dunia ini. Bukan kita sahaja diuji, sebaliknya setiap manusia akan diuji dengan bemacam-macam jenis ujian yang berbeza. Hanya masa dan takdir yang akan menentukan samada kita ini benar-benar seorang pejuang atau sebaliknya. Renungkan...

Monday, September 19, 2011

Ulama, Umara Dan Ummah

ULAMA perlu memiliki ketinggian ilmu dan bersedia menyumbang pemikiran bagi pembangunan ummah sejagat selain membimbing manusia ke jalan yang diredai Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w menyifatkan ulama seperti bintang di langit dengan memegang amanah bagi menjamin kesejahteraan umat Islam.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang itu mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Mereka perlu jujur dan ikhlas dalam melaksanakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan. Sebagai ulama mereka perlu memiliki sifat sabar, lemah lembut, berhikmah, bersikap ramah, menghormati pendapat orang lain dan saling menasihati serta memuliakan saudara lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Berbicaralah dengan manusia menurut akal dan fikirannya. Gembirakanlah mereka dan janganlah dijauhkan; mudahkan jangan disukarkan. Inilah cara menyeru manusia kepada agama Allah. Bersoal jawab dengan masyarakat sebaik-baiknya iaitu sehingga memuaskan hati dan menghilangkan keraguan mereka. Sebab itu ulama wajib mengetahui pelbagai cabang ilmu. Jika tidak pasti, masyarakat mudah menolak ajaran yang bertentangan dengan ilmu pengetahuan mereka.

Perkara paling penting yang perlu dilakukan golongan ulama ialah menggalas tanggungjawab melindungi umat Islam daripada sebarang usaha penyelewengan agama seperti murtad, khurafat, bid'ah, syirik dan tahyul.

Maka umat Islam perlu mengiktiraf ulama sebagai pemimpin yang berwibawa. Ibnu Abbas berkata: "Ulama adalah orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi: Orang alim tentang Allah Maha Penyayang adalah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiat-Nya di samping yakin bahawa dia tetap akan menemui-Nya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

Semakin tinggi ilmu yang dimiliki seorang ulama maka bertambah takut mereka kepada Allah. Mereka akan sentiasa menjunjung amanah bagi menyampaikan hak dan kebenaran. Jelas karakter yang dimiliki golongan ilmuwan menjadi lambang kekuatan iman dan harapan umat Islam supaya kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam yang suci.

Berbeza dengan watak golongan ulama dunia di mana mereka hanya bermotifkan untuk mendapat habuan dunia. Apabila bertambah ilmunya, semakin ingkar mereka kepada perintah Allah.

Sebagai persiapan menghadapi pelbagai cabaran mendatang, ulama perlu sentiasa mengikuti perkembangan supaya mereka dapat menangani masalah semasa itu dengan baik.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menjalankan hukum (pemerintahan) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang diturunkan oleh Allah". (Surah al-Maidah ayat 48)

Ulama berperanan menanamkan kesedaran dan memimpin masyarakat menghayati serta melaksanakan cara hidup selaras dengan tuntutan agama. Bersikap berkecuali tidak boleh sesekali diamalkan golongan ulama kerana mereka perlu memperbetul serta menjelaskan perkara sebenar andai kata berlaku permasalahan di kalangan umat Islam.

Mereka perlu berpendirian tegas menangani sebarang isu berdasarkan ilmu agama yang dimilikinya. Tohmahan terhadap golongan ulama pasti timbul jika perjuangan menyebar dan menegakkan ajaran agama dicemari kepentingan peribadi seperti harta benda, kedudukan, pangkat dan penghormatan. Abu Nu'aim menyatakan bahawa Nabi mengatakan: "Dua golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rosaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan pemerintah."

Terdapat kisah keberanian seorang ulama yang tidak mengejar pangkat dan kedudukan atau kepentingan seseorang iaitu Imam Nawawi. Beliau tetap mengatakan sesuatu perkara itu benar menurut hukum. Menurut riwayat, apabila baginda Sultan al-Malik al-Zahir mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang Tatar (Monggol) digunakan fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat bagi memenuhi kepentingan perang melawan musuh. Seorang ulama fiqh dari Syam menulis menerangkan fatwa itu tetapi baginda masih tidak berpuas hati jika Imam Nawawi tidak memberi fatwanya. Baginda seterusnya menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan.
Beliau tidak mahu memberi fatwanya dan memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan keengganannya. Beliau dapat tahu bahawa baginda memiliki 1,000 hamba. Setiap seorang mempunyai beberapa ketul emas manakala 200 khadam wanita baginda memiliki barang perhiasan bernilai. Jika baginda membelanjakan semua itu demi keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang itu, maka beliau bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan baginda mengambil harta rakyat.

Imam Nawawi berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selagi kekayaannya tidak digunakan. Sultan al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya amat menggemparkan sehingga baginda memerintahkan beliau keluar dari Damsyik. Imam Nawawi menerima perintah pengusirannya itu. Namun ulama Syam berusaha menjemputnya pulang tetapi beliau enggan selagi baginda masih berkuasa.

Ulama perlu berani menyatakan pandangan mereka terhadap perkara yang dirasakan bertentangan, namun setiap teguran itu perlulah dilakukan dengan penuh hikmah.

Penceramah, Mohd Rani Awang Besar berkata, ulama adalah golongan yang Allah kurniakan kepada mereka ilmu agama yang tinggi hasil daripada bertahun-tahun lamanya mereka menuntut ilmu.

"Allah berfirman dalam Surah Faathir ayat 28 yang bermaksud: "Hanya yang takut kepada Allah ialah ulama-ulama di antara hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."

"Maka jelaslah apabila semakin tinggi ilmu mereka tentang kejadian alam yang dijadikan Allah maka bertambah takut mereka kepada Allah," katanya. Beliau berkata, terdapat dua bahagian ulama iaitu ulama akhirat dan ulama dunia yang menjalankan peranan berbeza-beza. "Sebagai pewaris tugas Nabi Muhammad, mereka perlu sentiasa menegakkan kebenaran dan tidak takut dengan manusia. "Terdapat ulama yang menggunakan ilmu mereka bagi menyebar luas dakwah ke seluruh pelosok dunia bagi mendapatkan keredaan Allah semata-mata manakala ulama dunia menggunakan peluang untuk mengejar pangkat serta kedudukan," katanya. Mohd Rani berkata, tugas penting seorang ulama akhirat ialah berusaha semampu mungkin berdakwah kepada semua golongan dalam melahirkan umat Islam berilmu dan bertakwa. 

"Ulama perlu tegas dan berani menyatakan pendirian mereka dalam satu isu yang bersalahan dengan syariat. Yang betul katakan dengan jelas ia benar manakala yang batil jangan sesekali membisukan diri."Golongan ulama tidak pernah takut terhadap apa saja bentuk halangan yang menimpa diri mereka. Jauh sekali jika mereka tahu kesalahan itu tetapi mengambil jalan mudah hanya mendiamkan diri tanpa melakukan sebarang tindakan," katanya.

Beliau berkata, terdapat sebuah hadis daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali." (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

"Daripada hadis ini, kita dapat saksikan ulama yang dimaksudkan ialah ulama su' (jahat). Ulama seperti ini hanya memandang hal keduniaan," katanya. 
 
Sumber Artikel: Harian MetroIlustrasi Oleh: Ikhsan Isey